KUALA LUMPUR – Chatime Malaysia Sdn. Bhd. (Chatime) membuka cawangan terbaharunya di ruang legar pawagam TGV Cinemas di pusat beli-belah yang baru dibuka, Central i-City, Shah Alam.
Ia menjadikan Chatime sebagai jenama teh bubble pertama yang membuka cawangan di ruang legar pawagam dengan jangkaan lebih banyak cawangan akan dibuka dalam masa terdekat.
Pengarah Urusan Kumpulan Chatime, Aliza Ali berkata, cawangan pertama Chatime di TGV Cinemas memberi lebih pilihan kepada pelanggan yang ingin menonton wayang sambil menikmati makanan dan minuman kegemaran mereka.
“Sebelum ini, mungkin ada antara peminat teh bubble di luar sana yang pernah membawa masuk minuman kegemaran mereka secara curi-curi ke dalam panggung wayang untuk dinikmati ketika sesi menonton.
“Bagaimanapun, mereka tidak perlu lagi melakukannya. Mereka kini boleh membawa masuk minuman Chatime secara terang-terangan tanpa perlu ‘menyeludup masuk’ dalam beg masing-masing,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Chatime, Widayu Latiff menjelaskan, kerjasama dengan TGV Cinemas Sdn. Bhd. membuktikan komitmen syarikat dalam menjadikan Chatime sebagai sebuah jenama minuman gaya hidup masa kini.
“Sebagai sebuah jenama minuman gaya hidup, kami komited dalam menjalinkan kerjasama dengan pelbagai jenama daripada pelbagai segmen termasuklah hiburan, program kesetiaan syarikat penerbangan, telekomunikasi, perbankan, institusi pengajian tinggi dan banyak lagi,” tambahnya.











