KUALA LUMPUR – Kesatuan Olahraga Malaysia akan menghantar sembilan atlet terbaik menggalas cabaran negara menghadapi Kejohanan Olahraga Asia di Stadium Khalifa, Doha, Qatar dari 21 hingga 24 April ini.
Presidennya, Datuk Karim Ibrahim percaya anak-anak buahnya itu mampu memberikan tentangan sengit kepada jaguh-jaguh handalan Asia dalam misi menaiki podium kejohanan tersebut selain melayakkan diri ke Kejohanan Olahraga Dunia yang juga berlangsung di Doha pada September depan.
“Susah juga kalau dibandingkan dengan keputusan pada Sukan Asia 2018 kerana kebanyakan atlet yang memenangi pingat ketika itu akan bertanding di Doha.
“Cuma saya harap semua atlet negara dapat memberi saingan sehabis baik untuk menduduki tempat terbaik sekali gus membanggakan Malaysia di Doha,” kata Karim kepada Kosmo! sebentar tadi.
Malaysia menghantar dua atlet untuk acara pecut iaitu pemenang pingat gangsa 100 meter (m) Kejohanan Olahraga Remaja Asia 2018, Muhammad Zulfiqar Ismail dan pemegang rekod 200m kebangsaan, Russel Alexander Nasir Taib.
Dua jagoan lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa dan Lee Hup Wei disahkan akan bertanding bersama-sama jaguh lompat kijang Asia Tenggara, Muhammad Hakimi Ismail.
Atlet lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamshuddin juga akan turun bertanding mempertahankan pingat perak dimenanginya pada edisi 2017 di Bhubaneswar, India.
Dua lagi atlet lelaki negara yang akan bertanding ialah pemenang pingat emas Sukan SEA dalam acara baling tukul besi, Jackie Wong Siew Cheer dan bintang lompat jauh dalam pembikinan, Andre Anura Anuar.
Atlet wanita tunggal yang akan menggalas cabaran Malaysia di Doha ialah Kirthana Ramasamy untuk acara lompat kijang.
Kesemua atlet tersebut akan diiringi pengurus skuad olahraga, Mohd. Muzhafar Hamdan dan tiga jurulatih iiaitu Ahmad Firdaus Salim, Gu Yuan dan Aleksandr Gasparyan. – K! ONLINE











