KUALA LUMPUR 23 April – Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini, didorong sentimen positif pelabur dalam kaunter terpilih, iaitu Malaysia Airports, Tenaga, Hartalega dan Top Glove.
Sementara itu kebanyakan pasaran ekuiti Asia mencatatkan prestasi bercampur-campur berikutan kekurangan pemangkin.
Semasa dagangan ditutup, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat semula 0.33 peratus atau 5.38 mata kepada 1,627.44 daripada 1,622.06 ketika ditutup pada Isnin.
Indeks itu dibuka 2.06 mata lebih tinggi kepada 1,624.12 dan bergerak antara 1,620.93 dan 1,629.42 sepanjang sesi dagangan.
Lingkungan pasaran bagaimanapun negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 443 berbanding 406, manakala 412 kaunter tidak berubah, 655 kaunter tidak diniagakan dan 32 yang lain digantung.
Jumlah dagangan susut kepada 3.73 bilion unit bernilai RM2.47 bilion berbanding 4.77 bilion unit bernilai RM3.18 bilion semalam.
Saham Malaysia Airports meningkat 4.08 peratus atau 32 sen kepada RM7.40, Tenaga naik 0.99 peratus atau 12 sen kepada RM12.28, Hartalega menokok 7.07 peratus atau 34 sen kepada RM5.15 dan Top Glove menambah 4.62 peratus atau 21 sen kepada RM4.76.
Menurut Malacca Securities Sdn Bhd (MSSB), asas pergerakan pasaran tempatan adalah lemah dan sokongan belian juga masih rendah untuk memastikan peningkatan berterusan.
“Ini menjadikan unjuran jangka pendek sekali lagi sederhana. Kami berpendapat aliran pasaran bercampur-campur sehingga rendah dijangka berlanjutan bagi jangka terdekat.
“Selain itu, peserta pasaran juga menunggu petunjuk baharu yang mempunyai potensi positif daripada lawatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke China bulan ini untuk menyokong prospek pasaran,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.
Pada masa yang sama, bagaimanapun, MSSB berkata pemangkin lebih kukuh amat diperlukan bagi memberi rangsangan kepada penanda aras FBM KLCI bukan hanya untuk mencatatkan pergerakan lebih tinggi malah kekal pada aliran meningkat.
“Kami masih menyaksikan paras 1,630 sebagai rintangan segera, diikuti paras 1,640 manakala paras sokongan kekal pada 1,620 dan 1,609 yang dicatatkan baru-baru ini,” menurut firma itu. – BERNAMA











