KUALA LUMPUR 4 April – Kelab amatur, Jerantut FA tidak sabar untuk membuktikan pasukan ‘kampung’ mampu mencabar gergasi apabila diundi menentang Perak pada pusingan ketiga Piala FA.
Biarpun hanya beraksi dalam liga divisyen empat (Liga M4) berbanding Perak yang turun dengan reputasi selaku juara Piala Malaysia dan gergasi Liga Super, Jerantut FA yang meraih tiket ke Piala FA menerusi Liga Bola Sepak Rakyat tidak gentar untuk melakar kejutan.
Jurulatihnya, Ahmad Nazri Mat Noor menegaskan, mereka akan memastikan Bos Gaurus tidak menerima laluan mudah apabila kedua-dua pasukan berentap di Stadium Tun Abdul Razak di Jengka, Pahang, pertengahan bulan ini.
“Kami hanya pasukan kampung yang dibarisi pemain-pemain di sekitar daerah Jerantut, Kuala Lipis dan Temerloh, sedangkan Perak satu nama besar. Jurang kualiti memang cukup ketara.
“Bagaimanapun, peluang menentang juara Piala Malaysia adalah pengalaman terbaik untuk anak-anak buah saya merasai aksi berdepan pemain terbaik di Malaysia.
“Kami akan turun bermati-matian dan saya akan membuat kajian permainan Perak.
“Saya juga mengharapkan tuah beraksi di laman sendiri serta sokongan penyokong,” kata Ahmad Nazri selepas majlis undian hari ini.
Sementara itu, jurulatih Kedah, Mehmet Durakovic memberi amaran kepada pemainnya agar tidak memandang rendah cabaran Jerantut FA walaupun dilihat sebagai pilihan utama untuk memenangi perlawanan.
“Perlawanan ini menggunakan format kalah mati, jadi kesilapan tidak boleh dilakukan.
“Biarpun kita berdepan pasukan amatur, tetapi kami akan beraksi di tempat lawan. Kalau hendak meneruskan kemaraan, kami kena menang dan fokus,” katanya. – UTUSAN ONLINE
JADUAL PIALA FA (pusingan ketiga)
UKM FC lwn PAHANG
SELANGOR lwn FELDA UNITED
PKNP FC lwn PDRM/SARAWAK
JDT lwn PKNS FC
KELANTAN UNITED lwn TERENGGANU FC
JERANTUT lwn PERAK
KEDAH lwn PJ CITY
PULAU PINANG lwn KUALA LUMPUR











