Bomba sasar 700 anggota STORM dalam 2 tahun - Utusan Malaysia

Bomba sasar 700 anggota STORM dalam 2 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG 11 April – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyasarkan unit elitnya yang mula ditubuhkan pada 2011 iaitu Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) akan mempunyai kekuatan seramai 700 orang anggota termasuk pegawai dalam tempoh dua tahun.

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, pada masa ini unit berkenaan dianggotai seramai 466 orang termasuk 39 orang anggota yang baharu ditauliah hari ini.

Beliau memberitahu, kesemua 39 anggota baharu STORM yang baharu mendapat pentauliahan itu termasuk dua pegawai bomba wanita, sekali gus mencatat rekod wanita pertama yang ditauliahkan sebagai anggota STORM.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dua pegawai wanita itu ialah Pegawai Bomba (PB) Nurfatin Nadia Jamain dan PB Melisa Canda Anak Jawan.

Abdul Wahab seterusnya menjelaskan, pihaknya setakat ini tidak meletakkan sebarang sasaran bagi pengambilan anggota wanita menyertai STORM namun penyertaannya dialu-alukan selain berdasarkan pemilihan sebelum melalui syarat serta ujian lasak dan cukup mencabar.

“Kita kalau boleh nak seramai mungkin anggota wanita menyertai STORM ini dan juga dalam bidang-bidang lain seperti unit menyelamat di air, Hazmat (Pasukan Unit Bahan Berbahaya) dan sebagainya,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Kursus Khas STORM di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia di Wakaf Tapai dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Cawangan Pasukan Penyelamat JBPM, Mohd. Azhar Abdullah dan Komander STORM, Ismail Abd. Ghani.

Abdul Wahab mengakui pada masa ini jumlah kekuatan anggota STORM yang sedia ada masih belum mencukupi bagi menghadapi sebarang situasi bencana dan menyelamatkan mangsa.

Beliau bagaimanapun memberi jaminan pasukan khas tersebut sentiasa bersiap siaga pada bila-bila masa untuk dikerah menjalankan kerja menyelamat bencana sama ada di dalam atau luar negara.

“STORM adalah pasukan elit yang terlibat dalam operasi besar termasuk tragedi pencemaran bahan kimia di Pasir Gudang, Johor selain tanah runtuh di Pulau Pinang dan operasi mencari dan menyelamat Acap di Gua Tempurung, Gopeng,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini