PERKARA mengenai ‘cakap besar’ dalam kempen pilihan raya sudah terlalu klise dan memualkan masyarakat. Rakyat menjadi cemuh dan muak dengan kata-kata seperti: “Hari ini menang, esok semua masalah selesai…!” atau “Hari ini kita ambil alih kuasa, esok harga minyak turun…!”.
Malah, banyak lagi contoh yang masyarakat dapat dengar baik di pentas ceramah politik, mahu pun menerusi rakaman video yang ditular secara meluas.
Silap, jika ada pihak masih menyakini tindakan menyuarakan ‘janji besar’ terutama pada musim-musim pilihanraya boleh memikat hati rakyat untuk menyokong mereka. Sebaliknya perbuatan seumpama itu ternyata akan ‘menjerat moral’ atau ‘memakan diri’ (backfired) terhadap individu atau pihak yang menuturkannya.
Ya, ‘bercakap besar’ atau ‘berjanji besar’ selalunya diiringi ‘risiko besar’.
Lebih-lebih lagi jika segalanya itu gagal ditunaikan apabila tiba waktunya. Berapa banyak sudah janji pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu tidak mampu ditunaikan oleh pihak yang sudah diberi mandat oleh rakyat. Apa yang tinggal kini hanya ‘impian yang tidak kesampaian’.
Pernah dijanjikan dengan jaminan menurunkan kos sara hidup rakyat. Antaranya dengan menggantikan sistem Cukai Perkhidmatan Kerajaan (GST) kepada Cukai Perkhidmatan dan Jualan (SST); Penghapusan bayaran tol; Penurunan harga minyak petrol; Penghapusan Pinjaman Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) dan banyak lagi.
Tertanya-tanya pula para petani, nelayan, pekebun, penternak, peneroka Felda dan Felcra tentang di mana bantuan ihsan untuk mereka? Tidak dinafikan ada di antaranya sudah mula ‘digerakkan’, tetapi rata-rata masih belum sampai ke tangan. Terpaksa melalui proses penyaringan ketat. Kadarnya pula dikatakan jauh berkurangan.
Sejauh mana pula keberkesanan usaha menjaga kebajikan rakyat setelah ketiadaan produk-produk berjenama 1Malaysia? Misalnya Klinik 1Malaysia, Kedai 1Malaysia serta beberapa inisiatif lain bagi membantu rakyat. Dan yang pastinya, jenama ‘1Malaysia’ adalah untuk kesejahteraan rakyat Malaysia secara umumnya tanpa dibatasi perbezaan kaum, agama dan keturunan mahu pun sempadan daerah atau negeri.
Slogan “Selamatkan Malaysia” ke mana perginya? Perpaduan antara kaum kelihatannya seakan longgar. Provokasi mencuit emosi dan sensitiviti agama kerap tercetus. Harap-harap ada usaha untuk mengambil langkah-langkah tegas membendungnya.
Kedengaran pula pelbagai ‘madah berhelah’ bagi ‘menghalalkan’ ketidakmampuan menunaikan segala janji. Skripnya panjang lebar. Termasuk dikaitkan dengan tempoh pemerintahan kerajaan kononnya masih baharu, tidak habis-habis dengan isu ‘hutang negara’ serta percubaan tanpa henti untuk mengaitkan dengan peribadi pemimpin kerajaan terdahulu.
Syukurnya rakyat Malaysia semakin memahami suasana politik negara. Mereka semakin sedar perbezaan di antara janji pilihan raya dengan nikmat kemakmuran yang selama ini sudah dirasa. Manifestasi kesedaran mereka semakin terserlah. Diperkatakan kekesalan mereka terhadap ‘janji tinggal janji’ itu secara jelas dan terbuka.
Beringat-ingatlah semasa berbicara, agar apa yang dikata mampu dikota. Berjanjilah atas pengukuran yang munasabah. Jika gagal, moral pihak yang menyuarakan itu akan dipertikai, manakala ketaksuban rakyat mempercayainya pun turut dipersoal.
Rakyat menyokong sebarang seruan atau cadangan supaya pihak-pihak tertentu supaya tidak lagi ‘ghairah’ menabur janji-janji baharu, sedangkan janji-janji lama masih tidak menentu. Rakyat lebih senang dihujahkan dengan fakta yang tepat dan logik atas sesuatu isu membabitkan kepentingan mereka. Tetapi mereka ‘jemu’ apabila ada percubaan mengeksploitasi sesuatu isu dengan menyelit niat untuk ‘melangsaikan’ agenda lain yang tersirat.
Ada pesanan menerusi peribahasa Melayu, agar janganlah: “Kokok berderai-derai, tetapi ekor bergelumang tahi…!”.
DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.











