PETALING JAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan memberi sepenuh sokongan kepada kerajaan negeri Sabah yang dipimpin Parti Warisan Sabah (Warisan).
Perdana Menteri dan Pengerusi Bersatu itu menegaskan kehadiran Bersatu di Sabah bukan bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada dan merebut mana-mana jawatan.
“Kita ingin jelaskan apabila kita pergi ke Sabah tujuannya ialah untuk mengadakan parti Bersatu di Sabah dan parti Bersatu ini bukan bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada (di sana),sebaliknya kita akan sokong sepenuhnya kerajaan Warisan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di sini hari ini.
Mahathir turut mengakui menjelang majlis pelancaran parti itu di Sabah Sabtu ini, ada cubaan pihak tertentu mengambil kesempatan melaga-lagakan Bersatu dan Warisan. – Bernama










