Belanjawanku KWSP bercanggah - Utusan Malaysia

Belanjawanku KWSP bercanggah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 4 April – Kaji Selidik Bajet Bulanan iMoney yang dijalankan ke atas 1,000 responden di Lembah Klang mendapati terdapat dua percanggahan dalam panduan perbelanjaan Belanjawanku terutamanya yang melibatkan bajet golongan bujang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif iMoney Group, Mitul Lakhani, panduan Belanjawanku oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencadangkan orang bujang mem­be­lanjakan sebanyak RM300 untuk rumah, namun kajian tersebut mendapati purata orang bujang membelanjakan lebih kurang RM1,100 setiap bulan untuk perumahan.

“Ini menjadikan belanjawan bulanan mereka lebih daripada 360 peratus berbanding bajet yang diperuntukkan oleh panduan Belanjawanku,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tambahnya, perkara ke­dua yang didapati bercanggah adalah median gaji bagi orang bujang di Kuala Lumpur yang mengikut panduan oleh KWSP itu adalah kira-kira RM2,650 sebulan dan ia memberikan sedikit lebihan bagi penjimatan.

“Bagaimanapun, berdasarkan tinjauan kami, individu bujang yang memiliki kereta menghabiskan sejumlah RM2,695 tanpa mengambil kira perbelanjaan untuk penjagaan diri, perbelanjaan tahunan dan simpanan.

“Ini menyebabkan mereka terpaksa bergantung kepada pembiayaan peribadi bagi menampung kos sara hidup sebenar,” katanya.

Beliau berkata, selain itu kaji selidik mendapati terdapat peningkatan mendadak dalam permohonan bagi pinjaman peribadi antara tahun 2016 dan 2018 dengan kenaikan 370 peratus menjelang akhir 2018.

Ujarnya, majoriti permohonan (36 peratus) dengan tujuan pembiayaan semula dan penya­tuan hutang peribadi. Ia me­nunjukkan bahawa terdapat ramai rakyat Malaysia yang masih bergelut dengan hutang.

“Peningkatan dalam permohonan pinjaman peribadi serta masalah pembayaran balik pinjaman itu adalah petunjuk kepada cabaran yang dihadapi oleh rakyat Malaysia dalam mengekalkan kesihatan kewa­ngan yang baik.

“Terdapat keperluan penting untuk meningkatkan kefahaman kewangan bukan sahaja dengan menyediakan lebih ba­nyak kandungan pendidikan dan bengkel, tetapi juga dengan memastikan terdapat kemudahan seperti laporan skor kredit dan konsultasi yang dapat membantu membuat keputusan lebih baik dalam hal kewa­ngan peribadi,” katanya.

Lakhani berkata, data diperoleh juga sepadan dengan Kaji Selidik Kesejahteraan Kewa­ngan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) 2018 yang menunjukkan bahawa 28 peratus rakyat Malaysia terpaksa meminjam wang untuk membeli barangan penting.

Kaji selidik AKPK juga me­nunjukkan bahawa separuh daripada respondennya hanya mempunyai cukup wang untuk memenuhi keperluan penting dan tidak dapat membelanjakan pada perkara yang mereka ingini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini