ALOR SETAR – Bangkai seekor ikan paus dengan anggaran berat 1.5 tan dan seekor ikan lumba-lumba seberat 250 kilogram ditemukan terdampar di Pantai Kuala Sala, Yan, semalam.
Pengarah Perikanan Negeri Kedah, Abdul Halim Marzuki berkata bangkai ikan paus itu dijumpai orang awam dalam keadaan perutnya terburai, manakala bangkai ikan lumba-lumba ditemukan kira-kira tujuh kilometer dari lokasi ikan paus itu.
“Bagaimanapun jantina dan spesies kedua-dua ikan itu hanya dapat dipastikan selepas proses bedah siasat dijalankan oleh pakar dari Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, Dungun, Terengganu, esok.
“Penemuan seperti ini boleh kata setiap tahun ada tetapi belum pernah lagi berlaku kedamparan dua jenis ikan mamalia ini serentak pada hari sama,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Abdul Halim berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca menyebabkan kedua-dua ikan itu terdampar di pantai tersebut. – Bernama











