Bakal calon PRK Sandakan dinasihat buat semakan awal borang pencalonan - Utusan Malaysia

Bakal calon PRK Sandakan dinasihat buat semakan awal borang pencalonan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Bakal calon yang berhasrat untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan dinasihatkan supaya membuat semakan awal pengisian borang pencalonan mereka di Pejabat Pegawai Pengurus di Pejabat Majlis Perbandaran Sandakan atau di Pejabat Pilihan Raya Negeri Sabah sebelum hari penamaan calon iaitu pada 27 April ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, semakan awal dilakukan untuk memastikan semua bakal calon mengisi borang tersebut dengan betul, menepati syarat dan kelayakan yang ditetapkan bagi mengelakkan berlakunya kesilapan pengisian borang.

Jelasnya, langkah itu dapat menjamin proses penamaan calon pada hari penamaan calon berjalan lancar dan mengikut tempoh masa yang ditetapkan. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Semakan itu juga dapat memberi peluang kepada parti-parti yang calonnya didapati tidak layak semasa semakan awal untuk membuat persiapan sewajarnya sebelum hari penamaan calon.

“Bagaimanapun, kertas penamaan calon yang telah lengkap diisi dan disemak hendaklah dikemukakan oleh bakal calon, penyokong atau pencadangnya kepada Pegawai Pengurus semasa hari penamaan calon,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Azhar, bakal-bakal calon digesa untuk membuat pembayaran deposit iaitu deposit pilihan raya dan deposit bahan kempen lebih awal. 

Tambahnya, mereka turut diminta untuk mengambil pas-pas calon, pencadang dan penyokong selepas bayaran deposit dibuat bagi tujuan kebenaran memasuki pusat penamaan calon. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini