KUALA TERENGGANU – Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan enam bot nelayan Vietnam serentak dalam operasi khas bermula Khamis lalu yang melibatkan nilai rampasan hampir RM6 juta.
Dalam operasi sama, kapal martim, KM Pekan turut berjaya menahan 63 nelayan negara jiran terbabit berusia dalam lingkungan 15 hingga 59 tahun yang tidak memiliki dokumen perjalanan dan permit kerja sah.
Pengarah Maritim Terengganu, Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, kejayaan menahan enam bot nelayan Vietnam serentak termasuk dua disyaki menggunakan modus operandi mengklonkan bot tempatan tersebut merupakan yang terbesar pada tahun ini.
“Salah satu bot nelayan asing yang ditahan berkenaan juga disyaki mempunyai maklumat berhubung jadual rondaan kapal dan bot peronda APMM di perairan negara berdasarkan penemuan sebuah diari.
“Kita percaya ini taktik mereka untuk mengelak dikenakan tindakan penguatkuasaan oleh APMM. Siasatan lanjut sedang dilakukan berhubung penemuan diari terbabit,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Maritim Terengganu di sini hari ini.
Muhammad Suffi berkata, kesemua bot nelayan Vietnam yang disyaki mencerobohi perairan negara itu ditahan pada kedudukan antara 145 hingga 53 batu nautika dari muara Sungai Terengganu dari pukul 7.30 pagi, Khamis lalu hingga 1.55 petang, kelmarin. – K! ONLINE











