KLANG – Seorang anggota polis trafik maut selepas motosikal ditungganginya terbabas sebelum melanggar papan tanda di Batu 2 Jalan Kapar di sini pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 3.30 pagi itu, Lans Koperal Mohd. Faizal Md. Yusuf, 38, dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Klang Utara meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.
Difahamkan, mangsa sedang bercuti semasa kejadian tersebut.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, kejadian dikatakan berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y150 dalam perjalanan ke Kapar dari Klang.
“Setiba di lokasi kejadian, mangsa hilang kawalan dan bergesel dengan penghadang jalan sebelum terjatuh.
“Kepala mangsa kemudiannya terhentak pada tiang papan tanda yang berada di tengah-tengah penghadang jalan dan disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau menambah, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini untuk bedah siasat.
Jelas Nurulhuda, kes kini siasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE











