SUNGAI PETANI 22 April – Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Muda terkejut apabila mendapati seekor ular sawa batik seberat 19 kilogram dan sepanjang dua meter yang ditangkap mereka di Taman Intan di sini, kira-kira sebulan lalu, didapati telah bertelur sebanyak 18 biji di bawah jagaan mereka.
Pegawai APM daerah, Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata, ular tersebut ditangkap oleh anggotanya pada pukul 2.40 pagi, 17 Mac lalu, sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan daripada penduduk, Muhammad Hanif Abdul Aziz, 20.
Katanya, tiga anggota APM diketuai Sarjan (PA) Amran Ismail yang bergegas ke lokasi kejadian kemudian mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menangkap ular tersebut yang ditemukan di dalam longkang.
“Ular itu kemudian dibawa pulang ke pejabat APM daerah untuk jagaan sementara sebelum didapati bertelur bermula 15 April lalu sehingga kini.
“Hari ini kita ambil keputusan untuk menyerahkan ular sawa itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan selanjutnya sebelum telur-telur berkenaan menetas,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE











