LONDON 27 April – Usianya baru 16 tahun, tetapi Albert Carter mencipta nama apabila menjadi juruterbang solo termuda di United Kingdom (UK).
Lapor Mirror, ketika hari jadinya yang ke-16 pada 17 April lalu, remaja dari Camberley, Surrey itu melakukan penerbangan secara solo pertamanya.
Berkongsi pengalaman itu dengan Surrey Live, Albert berkata, walaupun gementar namun dia tidak berasa takut dengan penerbangannya yang mengikut perancangan.
“Ini sangat menakjubkan. Saya berasa sedikit kelainan memandangkan berat pesawat itu berbeza dengan muatan seorang penumpang. Sepanjang berada di ruang udara, saya berkomunikasi menerusi radio dengan pengawal trafik udara. Mereka sangat membantu,” katanya.
Remaja itu belajar membawa pesawat dengan syarikat penerbangan Blackbushe ketika berusia 14 tahun.
Albert yang bercita-cita untuk menjadi juruterbang pesawat komersial perlu mendapatkan Lesen Juruterbang Persendirian (PPL) dan memerlukannya melakukan penerbangan sekurang-kurangnya 45 jam dan menduduki beberapa ujian.
Setakat ini, dia telah berjaya melakukan penerbangan lebih 15 jam dengan menggunakan pesawat ringan Cessna 152.
Pemilik Blackbushe, Alison Morley menyifatkan Albert sebagai seorang yang selalu dahagakan ilmu.
“Dia masih perlu melengkapkan 30 jam lagi bagi melayakkan dia ditauliahkan sebagai juruterbang,” katanya.
Bapa remaja itu, Andy Carter mengakui dia takut dan menyifatkannya sebagai pengalaman mengerikan ketika melihat anaknya berlepas seorang diri untuk kali pertama.
Jelasnya, pada dua pusingan awal, Albert ditemani jurulatih dan kemudian pesawat itu mendarat dan menurunkan jurulatih itu, meninggalkannya melakukan penerbangan secara solo.











