Al-Sultan Abdullah terima kunjungan Infantino - Utusan Malaysia

Al-Sultan Abdullah terima kunjungan Infantino

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerima menghadap Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino di Istana Negara, Kuala Lumpur semalam.

Turut hadir ialah Pre­siden Persekutuan Bola Sepak Amerika Syarikat, Carlos Cordeiro dan Pengarah Persatuan Ahli Asia-Oceania, Sanjeevan Balasingam.

Pada pertemuan tersebut, Infantino turut me­nyampaikan ucapan terima kasih atas khidmat bakti Seri Paduka bersama Jawatankuasa FIFA dan juga mengucapkan tahniah atas perisytiharan sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Memuatkan artikel berkaitan…

Seri Paduka Baginda telah berkhidmat bersama Jawatankuasa FIFA sejak tahun 2015 dan telah terlibat dalam bola sepak tempatan serta antarabangsa selama lebih dari tiga dekad.

Selepas itu, Infantino bersama delegasi turut melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya.

Infantino diiringi Pre­siden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin; Presiden Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA), Kohzo Tashima dan Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Windsor John.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Ia merupakan pertemuan rasmi pertama antara Perdana Menteri Malaysia dan Presiden FIFA sejak 1960-an, ketika Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj menerima kunjungan hormat Stanley Rous.

Kunjungan hormat itu disusuli majlis menandatangani memorandum persefahaman antara FAM dan JFA bertujuan mewujudkan rangka kerja bagi mengukuh­kan kerjasama teknikal dan belia selain mengga­lakkan pertukaran penge­tahuan dalam pendidikan kejurulatihan serta pentadbiran.

Sementara itu, Infantino sentiasa menyokong usahasama berkenaan dan yakin kerajaan Malaysia boleh memberikan kerjasama baik kepada FAM.

“FIFA memperuntukkan AS$2 juta (RM8.18 juta) untuk membantu FAM dalam pembinaan pusat latihan moden dan canggih di Putrajaya.

“Kami percaya kerajaan Malaysia boleh men­yumbang kepada FAM menerusi kerjasama yang baik dari segi infrastruktur, kewangan dan penajaan,” ujar Infantino.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini