KUALA LUMPUR 9 April – Laluan antara Hulu Langat-Semenyih menjadi pilihan orang ramai khususnya bagi mereka yang sering mengambil air bukit yang terletak di laluan tersebut.
Hanya berbekalkan beberapa botol kosong mereka dilihat di satu laluan penghubung pekan Hulu Langat- Semenyih untuk menadah air bukit tersebut.
Tinjauan jurufoto Utusan Online ke lokasi terbabit mendapati seorang warga emas, Razi Mohd. Noh, 73, bersama isterinya sibuk memunggah botol-botol air yang telah di tadah ke dalam motosikal tiga rodanya.
“Seminggu sekali pakcik dan makcik akan ke sini bagi mendapatkan bekalan air bukit.
“Sebenarnya air ini untuk kegunaan harian pakcik berdua. Lagipun air galian (air bukit) ini banyak khasiatnya,” jelasnya ketika dekat sini baru- baru ini.
Menurutnya, bukan dia dan isterinya sahaja bergantung kepada air bukit itu tetapi juga ada beberapa individu lain datang untuk mengambilnya walaupun terpaksa menunggu giliran.
“Kebiasannya pada waktu petang ramai juga yang datang membawa botol-botol kosong untuk menadah air ini,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











