KUALA LUMPUR 5 April – Pengerusi SIRIM Berhad, Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali menerima pingat kebesaran daripada kerajaan Jepun iaitu The Order of the Rising Sun, Gold Rays with Neck Ribbon.
Anugerah berkenaan disampaikan oleh Duta Besar Jepun ke Malaysia, Dr. Makio Miyagawa.
Pengiktirafan itu diberi berikutan sumbangannya dalam menggalakkan kerjasama ekonomi antara Jepun dan Malaysia.
Menurut Miyagawa, Ahmad Tajuddin mempunyai kerjaya yang cemerlang dalam sektor kerajaan dan korporat.
Katanya, beliau telah menerajui pelbagai organisasi antaranya sebagai Pengerusi Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Pengerusi Gas Malaysia Sdn. Bhd. dan Pengerusi Suruhanjaya Tenaga Malaysia.
“Semasa menjadi Pengerusi Suruhanjaya Tenaga, beliau telah menganjurkan persidangan pertama berkaitan bekalan dan permintaan tenaga. Selain itu, beliau juga menyediakan peluang berharga kepada Jepun untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman dengan Malaysia berkenaan bagaimana menambah baik keselamatan tenaga,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ahmad Tajuddin, 71, merupakan Pro Canselor Universiti Tenaga Nasional (Uniten) serta Pengerusi Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT). – UTUSAN ONLINE











