AGG utamakan seni tanpa apparatus - Utusan Malaysia

AGG utamakan seni tanpa apparatus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GIMNASTIK kumpulan estetik (AGG) agak berbeza daripada gimnastik artistik dan berirama (gimrama) yang biasa disaksikan para peminat sukan khususnya pada temasya besar seperti Sukan Olim­pik dan Komanwel mahupun Asia.

AGG ialah satu disiplin gimnastik yang dimajukan daripada gimnastik wanita Finland dengan menekankan kepada pergerakan badan yang besar dan berterusan serta pasukannya lebih besar, mengandungi antara enam hingga 10 gimnas.

Tiada aparatus atau peralatan gimrama seperti bola, reben, gelung dan belantan yang digunakan dalam gelanggang hamparan karpet AGG yang berukuran 13 meter x 13 meter.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ciri-ciri fizikal yang diperlukan gimnastik estetik ialah keanjalan, keseimbangan, ke­pantasan, kekuatan, penyelara­san dan deria irama, manakala, keutamaan gerak-gerinya pada aliran, luahan perasaan dan tarikan kesenian.

Pasukan-pasukan yang ber­tan­ding dalam AGG terbahagi mengikut kategori umur iaitu kanak-kanak lapan hingga 10 tahun, 10-12 tahun, 12-14 tahun, remaja 14-16 tahun dan senior 16 tahun ke atas selain terdapat kategori pelajar universiti 17 tahun ke atas.

AGG dikawal selia oleh badan induknya, Persekutuan Antarabangsa Gimnastik Kumpulan Estetik (IFAGG) yang ditubuhkan pada 2003, manakala, Persatuan Gimnastik Kumpulan Estetik Malaysia (MAGGA) dibentuk tiga tahun lalu.

Hanya ada dua kelab dan 14 ahli daripada pelbagai latar belakang menganggotai MAGGA pada awal penubuhan Januari 2016, sebelum berkembang kepada lima kelab dengan 149 anggota dari seluruh negara.

“Bagi mempopularkan AGG, MAGGA telah menganjurkan Piala MAGGA, sebuah kejohanan antarabangsa selepas pelancaran rasmi pada April 2017 di Puchong, Selangor yang disertai 320 peserta dari 13 negara yang merupakan satu kejayaan besar.

“Tidak berhenti setakat itu, tiga pasukan MAGGA ke Piala Asia Pasifik di Chengdu, China dari 4 hingga 7 Mei 2018 berjaya membawa pulang sebutir pingat emas dan sebutir pingat perak serta tempat keempat keseluruhan,” kata Presiden MAGGA, Datuk Abdul Malek Noor yang juga bekas jaguh bina badan negara.

Kemampuan gimnas negara itu turut menarik minat IFAGG mengundang mereka menyertai Kejohanan Dunia di Budapest, Hungary, Jun tahun lalu, yang berjaya meraih sebutir gangsa dalam acara berpasukan campuran yang dianggotai Stefan Brecard, Tee Wei Qi, Chloe Wong, Jocelyn Tan, Georgia Wong dan Chiam Szi Mei.

Timbalan Presiden MAGGA, Datuk Radha Krishnan Nair berkata, MAGGA juga berhasrat untuk membida hak tuan rumah Piala Dunia 2020 bagi memecah tradisi penganjurannya yang hanya berlegar di Eropah.

“Malaysia mempunyai kemudahan lengkap yang boleh ditawarkan sebagai venue kejohanan itu antaranya Arena Axiata, Bukit Jalil dan Stadium Malawati, Shah Alam, malah, sukan gimnastik estetik lebih mudah dikendalikan kerana kurang menggunakan peralatan.

“Kemudahan yang diperlukan hanya dewan yang besar dan hamparan karpet pertandingan. Kamipun pernah menjayakan penganjuran Piala MAGGA 2017. Jika dapat hak itu, dijangkakan lebih 1,000 atlet dari 25 negara akan datang ke sini,” katanya.

AGG Piala Dunia 2020 di Malaysia juga jelasnya, mampu mempromosikan sektor pelancongan negara berasaskan sukan yang bertepatan dengan Tahun Melawat Malaysia 2020.

Setiausaha Agung MAGGA, Sarah Mohammed Ameen Sarraj berkata, AGG ialah sukan yang menyokong kesinambungan karier gimnas yang telah bersara dan berusia, namun, sukan itu tanpa peralatan dan lebih menekankan kerja berpasukan.

Antara kelab AGG di Malaysia yang aktif ialah Elite Dance Academy, Kickstart Gymnastics, Total Gymnastique, ZV Gymdanz Fitness dan Pink Clubs dengan jurulatihnya terdiri daripada bekas gimnas negara seperti pemenang pingat Sukan Komanwel 1998 dan 2006, Thye Chee Kiat serta Durratun Nashihin Rosli.

Dalam ranking negara Asia, Malaysia berada di belakang Jepun yang menghuni kedudukan No. 5 dunia dan Kazakhstan serta mengatasi Singapura di rantau Asia Tenggara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini