KUALA LUMPUR 3 April – Daripada pelumba simulator kepada pelumba kereta sebenar, Ady Rahimy Rashid dan Angeline Lee merealisasikan impian mereka melakukan penampilan sulung pada perlumbaan pembukaan musim Kejuaraan Siri Malaysia (MCS) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hujung minggu ini.
Selepas terpilih daripada 10 pelumba yang menyertai kejohanan e-MCS, tahun lalu, Ady dan Angeline telah diserapkan ke dalam Program Pembangunan Bakat SIC, dan kini mereka akan berkongsi trek perlumbaan yang sama dengan pelumba handalan Malaysia yang lain untuk bersaing dalam perlumbaan sebenar pula.
Bertanding di bawah naungan pasukan HI-REV SIC Dream Chaser Racing Team, Ady akan beraksi dalam kelas Stock Production dan memandu jentera Suzuki Swift, manakala, Angeline yang bergandingan dengan pemandu Jerman, Sophia Menzenbach bakal memacu kereta jenis dua pintu, Ford Fiesta. “Saya teruja dan tidak sabar untuk berlumba. Kami masih belum menguji jentera dan hanya melakukan pusingan di trek pada Rabu dan Khamis. Jadi, sukar untuk saya ulas lebih lanjut tentang jentera.
“Tetapi saya yakin akan dapat mempamerkan persembahan yang bagus. Saya tidak meletakkan sasaran tinggi untuk perlumbaan pembukaan musim kerana ini merupakan penampilan pertama saya dalam MCS,” kata Ady yang berusia 20 tahun.
Sementara itu, Angeline, yang berkhidmat bersama sebuah portal pemotoran, www.zerotohundred.com, melahirkan rasa terujanya setelah terpilih untuk menyertai MCS.
“Saya akan berusaha memberikan yang terbaik dan membuat pasukan bangga dengan saya,” kata Angeline, yang pernah memenangi perlumbaan Honda Go Kart Endurance Race pada 2013. – UTUSAN ONLINE










