Pemakaian jubah atau abaya dalam kalangan wanita Melayu kini telah menjadi suatu trend malah busana ini turut digayakan ke majlis-majlis rasmi atau keraian.
Rekaan dan warna abaya juga bukan lagi tertumpu hanya warna hitam tetapi didatangkan dengan pelbagai warna dan rekaan untuk disesuaikan dengan cita rasa wanita tempatan.
Seiring trend itu Anggun Abaya Dubai dimiliki Nooreen Firdaus Mohd. Yahya, menawarkan pelbagai koleksi abaya klasik sehingga eksklusif dan gaun inspirasi Asia Barat bukan sahaja untuk dipakai santai tetapi boleh digayakan ke majlis makan malam dan Aidilfitri yang bakal menjelang.
Kata Nooreen yang pernah menetap di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) selama tiga tahun, abaya dari negara Asia Barat semakin mendapat perhatian dan mempunyai peminat tersendiri.
Setiap rekaan abaya dari Dubai di Anggun Abaya Dubai memiliki nama tersendiri mewakili nama kawasan tertentu di bandar itu bagi melambangkan abaya yang dipakai oleh golongan di kawasan berkenaan antaranya Malika, Karama dan Jumeira selain Zaabeel.
Koleksi Karama merupakan abaya Arab klasik didatangkan dengan 100 rekaan dan lazimnya berwarna hitam dengan sulaman eksklusif jahitan tangan pelbagai motif corak bunga berwarna pastel dan manik yang dijahit di Dubai.
“Karama amat popular dalam kalangan wanita di negara ini kerana sesuai dipakai santai lazimnya untuk ke masjid atau menghadiri majlis agama atau kuliah malah tidak perlu digosok kerana kurang renyuk,’’ kata bekas jurutera alam sekitar itu.
Koleksi Zaabeel yang merupakan rekaan kardigan labuh dan abaya koleksi Jumeira pula sesuai untuk ke majlis makan malam kerana rekaan yang lebih eksklusif dengan jahitan batu yang menyerlahkan lagi keayuan si pemakai.
Kesemua abaya dari Dubai diperbuat daripada fabrik poliester Nida dari Korea yang memiliki ciri-ciri ringan, tidak jarang, lembut, licin, tidak mudah berkedut serta tidak panas. Justeru, amat sesuai dengan iklim panas negara ini.
Selain koleksi abaya Dubai, Anggun Abaya Dubai turut menampilkan koleksi gaun yang diinspirasi daripada fesyen muslimah Turki, Jordan dan Dubai seperti Safiyya, Azra dan Ayra.
Ketiga-tiga koleksi itu direka untuk memenuhi citarasa wanita tempatan namun mempunyai rekaan yang mematuhi syariah agar tidak menampakkan bentuk badan yang memakai.
Fabrik Azra dan Ayra diperbuat daripada kain likra dan sifon polos yang terdiri daripada warna biru, hijau zamrud, merah tua, biru muda, ungu samar, merah jambu samar dan hijau zaitun, sesuai untuk mereka yang berusia antara 20 tahun sehingga 40 tahun.
“Anggun Abaya Dubai mementingkan kepuasan pelanggan dengan memastikan jahitan dan sulaman yang kemas malah kami menerima semula mana-mana pembelian yang tidak memuaskan hati pelanggan,’’ katanya.
Kesemua abaya dan gaun tersebut boleh didapati di Anggun Chitra Butik D’Bayu Business Bukit Jelutong Shah Alam atau ruang pameran di No. 4 Jalan 49 Rantau Laut, Kertih Terengganu.
Pelanggan juga boleh melayari www.anggunabayadubai.com atau Facebook di anggunabayadubai 2016 dan chitrascarves, selain di Instagram, anggunchitraboutique atau menghubungi talian careline 01161604919.
Anggun Chitra Butik juga akan membuka gerai jualan di Plaza Masalam, Shah Alam sepanjang bulan Ramadan dan Bazar Menara TM di Jalan Pantai bermula 27 Mei sehingga 30 Mei ini.











