4,500 dijangka sertai Karnival Sukan Remaja PJ 2019 - Utusan Malaysia

4,500 dijangka sertai Karnival Sukan Remaja PJ 2019

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA 23 April – Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan menganjurkan program Karnival Sukan Remaja Terbuka Petaling Jaya 2019 di beberapa lokasi di Petaling Jaya bermula Jumaat sehingga Ahad ini.

Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Johary Anuar berkata, karnival sukan yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM200,000 itu melibatkan lapan acara dipertandingkan iaitu bola sepak, bola jaring, acara olahraga, sepak takraw, futsal, badminton, hoki dan tenis.

“MBPJ sentiasa berusaha dan membantu meningkatkan pembangunan sukan remaja bagi mencungkil lebih banyak bakat baharu dalam pelbagai acara sukan.

“Kejohanan ini juga dapat membantu mengenal pasti keberkesanan program yang dianjurkan MBPJ untuk melahirkan pelapis atlet pada masa akan datang,” katanya dalam sidang akhbar mengenai karnival itu di Ibu Pejabat MBPJ di sini hari ini.

Menurutnya, penyertaan karnival yang masuk tahun kedua itu dibuka kepada remaja bawah 18 tahun, sekolah dan kelab sukan di sekitar Petaling Jaya.

“MBPJ menganggarkan 4,500 penyertaan dari kalangan remaja seluruh negara menyertai Karnival Sukan Remaja Terbuka Petaling Jaya 2019 ini.

“Sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi Bahagian Pembangunan Sukan dan Kemudahan Am, Jabatan Pembangunan Kemasyarakatan MBPJ di talian 03-7956 1216/1219/1220 atau melayari www.mbpj.gov.my atau kunjungi laman sosial Majlis (Facebook: @petalingjayacitycouncil, Twitter& Instagram: @pjcitycouncil,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN