30 dirakam percakapan bantu siasatan kehilangan Zahir - Utusan Malaysia

30 dirakam percakapan bantu siasatan kehilangan Zahir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMENYIH 28 April – Polis telah merakam percakapan lebih 30 saksi bagi membantu pencarian Muhammad Zahiruddin Putra Mohd Fauzi atau Zahir yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Bandar Seri Putra, Bangi, dekat sini, 15 April lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, kesemua saksi terdiri daripada ahli keluarga mangsa dan rakan sekolah kanak-kanak berusia lapan tahun itu.

“Kita masih teruskan gerakan mencari Zahir walaupun sudah lebih dua minggu dilaporkan hilang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Skop pencarian kini bertambah luas dan tertumpu di seluruh kawasan Kajang selain daerah-daerah berhampiran selepas operasi mencari dengan bantuan pihak bomba dan APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) sebelum ini gagal mengesan mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Superheroes Challenge Sempena Hari Polis ke-212 anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di Semenyih Ecoventure Resort and Recreation, di sini hari ini.

Ahmad Dzaffir memaklumkan, pihaknya masih belum memperoleh petunjuk positif berhubung lokasi kanak-kanak berkenaan.

“Kami menyiasat semua aspek termasuk unsur jenayah bagi merungkai misteri kehilangan kanak-kanak ini.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kehilangan kanak-kanak itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Farah Nadia Mohd Hashim di talian 012 3600232 atau hubungi balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini