KUALA LUMPUR 9 April – Dalam tempoh kira-kira lapan bulan, sebanyak 130,000 peluang pekerjaan berjaya diwujudkan kerajaan.
Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran berkata, pihaknya mendapati berlaku peningkatan peluang pekerjaan di negara ini pada setiap bulan.
Sehubungan itu, katanya, beliau percaya inisiatif-inisiatif yang dibawa kerajaan baharu memberi peluang kepada anak-anak tempatan untuk bekerja.
“Dalam tempoh lapan bulan, kita telah pun mencapai peluang pekerjaan sebanyak 130,000 orang. Pada Jun 2018, kita ada angka bilangan pekerja di negara ini sebanyak 14.8 juta orang.
“Pada Disember lalu, bilangan itu telah meningkat kepada 14.9 juta orang. Jadi, ada berlaku peningkatan setiap bulan,” katanya sewaktu menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim (BN-Arau) pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Shahidan bertanyakan mengenai janji kerajaan Pakatan Harapan untuk mewujudkan sejuta peluang pekerjaan kepada rakyat di negara ini. – UTUSAN ONLINE











