Zulfiqar intai slot Kejohanan Asia - Utusan Malaysia

Zulfiqar intai slot Kejohanan Asia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 31 Mac – Pelari pecut negara, Muhammad Zulfiqar Ismail mengintai peluang untuk berada dalam skuad olahraga negara ke Kejohanan Olahraga Asia 2019 di Doha, Qatar, bulan depan.

Pelajar prauniversiti Sekolah Sukan Tunku Ismail berusia 20 tahun itu mengakui, persaingan merebut tempat ke kejohanan tersebut amat sengit memandangkan kesemua pelari pecut negara, terutama Jonathan Nyepa, Khairul Hafiz Jantan dan Muhammad Aqil Yasmin mempamer aksi terbaik sejak kebelakangan ini.

“Kalau nama saya terpilih ke Kejohanan Asia, insya-Allah saya akan cuba beri yang terbaik,” katanya selepas beraksi dalam edisi pertama Grand Prix Terbuka Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebelum itu, dia meraih pingat perak dalam acara 100 meter lelaki dengan catatan 10.41 saat. Pingat emas dimenangi juara remaja dunia, Lalu Muhammad Zohri dari Indonesia (10.20s) manakala pelari Taiwan, Wang Wei Tsu mengutip gangsa (10.44s).

“Catatan 10.41s ini boleh dikira agak baik untuk saya tahun ini kerana ia hampir dengan masa peribadi terbaik iaitu 10.40 yang saya catat pada tahun lalu,” kata pemenang pingat gangsa Remaja Asia 2018 itu lagi.

Dalam pada itu, pelari pecut wanita negara, Siti Fatimah Mohamad berpuas hati dengan kutipan gangsa yang diraihnya dalam acara 100m menerusi catatan 11.91s, namun mengakui masih banyak kelemahan perlu diperbaiki untuk melakar catatan masa lebih baik.

Pingat emas acara berkenaan dimenangi atlet Kyrgyzstan, Anna Bulanova (11.75s) manakala pingat perak diraih Hu Chia Chen dari Taiwan (11.89s).

“Syukur Alhamdulillah, saya akhirnya dapat pingat setelah lama tidak menyertai mana-mana kejohanan, tapi sasaran sebenar saya untuk memperbaiki catatan masa masih belum tercapai lagi.

“Saya gembira kerana melakar bawah 12 saat, namun saya berharap dapat baiki lagi catatan masa sama untuk berada di bawah 11.5 saat selepas ini,” katanya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini