ACAPULCO, Mexico – Bintang tenis dalam pembikinan, Wang Yafan melakukan kebangkitan dramatik untuk menewaskan Sofia Kenin pada aksi final Terbuka Mexico sekali gus menjulang gelaran pertama dalam kariernya bagi Jelajah Persatuan Tenis Wanita Antarabangsa (WTA) semalam.
Pemain China berusia 24 tahun di ranking No. 65 dunia itu tidak pernah melangkah ke pentas final, namun dia berjaya bangkit menewaskan pemain pilihan No. 5 dari Rusia dengan keputusan 2-6, 6-3, 7-5.
Yafan pada awalnya ketinggalan 6-2, 2-0 sebelum bangkit menemui rentak apabila Kenin, 20, dilihat bergelut untuk menampilkan aksi konsisten sebelum menyaksikan dia akur dibenam pemain No. 4 China itu.
“Final ini merupakan kali pertama buat saya di Acapulco dan saya amat menyukai aksi di sini. Ia adalah minggu yang menakjubkan. Ini adalah kejohanan yang bagus dan segalanya sangat menarik,” kata Yafan.
Yafan berjaya bangkit sebanyak dua kali selepas break pada set kedua dengan Kenin mendahului mata 40-15, namun bintang muda China itu enggan menoleh ke belakang apabila memenangi empat permainan terakhir untuk mengheret perlawanan ke set ketiga.
Kenin yang memburu gelaran kedua musim ini berjaya mendahului permainan 40-0 pada set seterusnya, namun ia belum cukup untuk mematahkan kebangkitan Yafan pada pertemuan sulung mereka itu.
“Ia merupakan kali pertama saya beraksi di Acapulco, tapi malangnya saya gagal untuk memenangi perlawanan ini. Bagaimanapun saya terima kekalahan ini dari sudut positif dan saya menikmati setiap saat keseronokan bersaing di sini,” kata Kenin. – Agensi










