MELAKA – Seorang lelaki warga Nepal ditemui mati lemas selepas terjatuh dan dihanyutkan arus deras sebatang longkang sejauh 800 meter di Kawasan Perindustrian Ayer Keroh di sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.15 petang itu, mangsa, Mandal Shudhir Kumar, 25, dikatakan tergelincir ketika berada di tepi longkang berhampiran medan selera di kawasan itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Hamdan Sudin berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 3.19 petang dan sepasukan lima anggota termasuk pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi, mangsa yang telah dikeluarkan dari longkang oleh rakan-rakannya diberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) oleh pasukan bomba.
“Bagaimanapun, lelaki itu disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba tidak lama kemudian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut. – K! ONLINE











