Wanita kutip besi buruk sara lima anak - Utusan Malaysia

Wanita kutip besi buruk sara lima anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS 28 Feb. – Kesempitan hidup memaksa seorang wanita di Kampung Alur Damat di sini mencari pendapatan de­ngan mengutip barangan lusuh dari tong sampah untuk menyara lima anaknya.

Begitulah rutin Nor Roslina Abd. Razak, 32, sejak lebih enam bulan lalu demi mendapatkan kira-kira RM10 sehari untuk membeli makanan buat anak-anaknya yang berusia tiga hingga 11 tahun.

Dengan ditemani anak sulungnya, Muhammad Asmawi Yuszaidi dan anak bongsu, Alif Syaaban, tiga beranak ini akan menunggang motosikal dan menyelongkar tong sampah di sekitar kediaman mereka untuk mencari besi dan botol.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tuntutan kerja sedemikian menyebabkan dia terpaksa me­ninggalkan anak-anaknya yang lain iaitu Nur Sairah, 10; Adi Farhan; sembilan, dan Nur Safirah, empat, bersendirian di rumah yang terlalu daif dan semakin mereput, milik bapa mertuanya.

“Setiap hari pukul 11 pagi, tanpa mengalas perut, kami keluar kutip besi dan akan ulang-alik hantar barang ke rumah.

“Pukul 3 petang apabila sudah dapat jual barang baharulah kami anak-beranak dapat makan. Hasil tak banyak, cuma dalam RM10 dan dengan duit itu saya beli mi segera untuk setiap anak dan jika masih ada baki digunakan untuk belanja dapur,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Kisah enam beranak ini tular baru-baru ini kerana dikatakan tinggal di rumah seolah-olah reban ayam, dengan hanya ruangan bilik tidur sahaja boleh digunakan manakala ruangan lain telah reput dan berlubang.

Lebih menyedihkan, rumah tempat lima beranak ini ber­teduh tidak dilengkapi dengan bekalan air, elektrik dan tandas sempurna dengan kawasan tandas dan tempat memasak di kawasan sama di samping pintu dan tingkap berlubang yang ditutupi langsir.

Menurut Nor Roslina, sepanjang tempoh itu juga ketiga-tiga anaknya terpaksa berhenti sekolah ekoran hidup mereka yang terumbang-ambing sejak ketiadaan suaminya, Yuszaidi Mansor, 37, yang ditahan pihak berkuasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN