PUTRAJAYA 13 Mac – Malaysia dan Korea Selatan sepakat meningkatkan hubungan dua hala dalam pelbagai bidang demi kemakmuran rakyat kedua-dua negara.
Komitmen itu disuarakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in dalam sidang akhbar bersama selepas kedua-dua negara memeterai perjanjian persefahaman bagi memperkukuhkan kerjasama terbabit.
Dr. Mahathir berkata, bidang kerjasama itu termasuk pengangkutan, pembangunan bandar pintar di Malaysia, industri halal dan industri berkaitan Revolusi Perindustrian Keempat (RI 4.0).
“Kita berharap keempat-empat memorandum persefahaman (MoU) yang ditandangani hari ini dapat mempertingkatkan perdagangan kedua-dua negara.
“Terdapat banyak bidang untuk kerjasama sekali gus memberi kesinambungan kepada Dasar Pandang Ke Timur,” katanya dalam sidang akhbar bersama selepas pertemuan empat mata beliau dan Jae-in di bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
Jelas Dr. Mahathir, menerusi kerjasama itu, Malaysia bersetuju untuk terus menghantar pelajar ke Korea Selatan dalam bidang kejuruteraan, teknologi maklumat (IT) dan teknologi-teknologi baharu, agar Malaysia dapat bergerak selaras dengan kemajuan republik itu ketika ini.
“Korea mula dengan pembuatan kenderaan untuk perindustarian mereka, kini lihat di mana mereka. Malaysia juga bermula dengan pembuatan kenderaan tetapi tidak seperti itu,” katanya.
Beliau turut menzahirkan harapan agar keadaan di Semenanjung Korea stabil hasil daripada perjanjian antara Amerika syarikat dan Korea Utara.
Dalam pada itu, Jae-in berkata, Korea Selatan berminat untuk terlibat dalam industri halal termasuk hal ehwal persijilan serta penyelidikan berkaitan.
Beliau dalam masa sama menyatakan komitmen negaranya bekerjasama dalam bidang keselamatan siber sebagai sokongan terhadap status Malaysia yang akan menjadi tuan rumah Persidangan Ekonomi Asia Pasific (APEC) pada tahun depan.
Jae-in turut memuji kemakmuran yang dicapai Malaysia dan peranan negara dalam memupuk kestabilan di rantau ASEAN diterajui Dr. Mahathir.
“Korea Selatan mempunyai dasar Selatan baharu yang turut melibatkan Malaysia. Justeru, kerjasama strategik seperti ini dapat memperkasakan lagi hubungan negara dan kemakmuran rakyat,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan rakyat Malaysia.
Tahun lepas, perdagangan dua hala antara Malaysia dan Korea Selatan mencatatkan peningkatan 7.2 peratus kepada AS$17.98 bilion (RM72.60 bilion), berbanding AS$15.76 bilion (RM67.71 bilion) pada tahun 2017. – UTUSAN ONLINE











