KUALA LUMPUR 15 Mac – Jenama fesyen muslimah tempatan, Umma menyasarkan untuk menjadi jenama nombor satu di Malaysia dalam tempoh dua tahun akan datang.
Pengarah dan Pengasas Umma, Zairin Zainul Azman berkata, pasaran fesyen muslimah mempunyai banyak permintaan bukan sahaja dari Malaysia, Singapura dan Brunei, tetapi juga di United Kingdom.
Beliau berkata, Umma yang memasarkan jenamanya secara dalam talian mempunyai kelebihan bagi memasarkan produknya ke pasaran global dan ini dapat membantu mengembangkan dan mengukuhkan jenamanya.
“Ketika ini saya percaya Umma merupakan antara lima jenama terkemuka bagi fesyen muslimah di Malaysia, walaupun baharu bertapak di Malaysia pada 2017.
“Saya yakin dengan kerja keras pasukan dan sokongan pelanggan yang berterusan, Umma mampu menjadi jenama fesyen muslimah terkemuka bukan saja di Malaysia malah di negara-negara serantau,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis pelancaran koleksi sedia dipakai (RTW) terbaharu keluaran Umma.

Zairin berkata, koleksi RTW baharu itu ditawarkan pada harga mampu milik iaitu RM99 sehelai dan ia disasarkan bagi golongan wanita yang sentiasa ingin tampil kemas dan menarik di sebalik kesibukan menjalani rutin harian.
Katanya, setiap koleksi baju dan seluar ditawarkan dalam dua warna pilihan.
“Pelanggan boleh mendapatkan koleksi baharu kami di laman web www.umma.my atau di Isetan KLCC bermula hari ini,” katanya.
Zairin berkata, selain laman web miliknya sendiri, Umma juga dipasarkan melalui beberapa platform dalam talian yang lain seperti Fashion Valet, Zalora dan Shopee.
“Ini memberi kelebihan kepada para pembeli kerana sesetengah platform kadang-kala menawarkan promosi yang berlainan dan ini dapat membantu pembeli membuat pilihan dengan lebih bijak,” katanya.











