JOHOR BAHRU – Empat kanak-kanak antara 10 individu ditahan dengan pelbagai jenis dadah seberat 994 gram (g) dianggarkan bernilai RM11,208 di sebuah rumah di Taman Pelangi, di sini awal pagi tadi.
Video oleh NUR AISYAH MAZALAN
Dalam dua serbuan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor kira-kira pukul 1 pagi itu turut menemukan sepucuk pistol jenis Browning bersama-sama 60 butir peluru hidup.
Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Kamarudin Md. Din berkata, enam suspek warga tempatan yang ditahan termasuk tiga wanita berusia 19 hingga 34 tahun dipercayai menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak setahun lalu.
“Dalam serbuan itu, polis turut menahan empat kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun dan merampas dadah pelbagai jenis antaranya ganja seberat 504g, serbuk putih disyaki dadah (345g), heroin (84g), syabu (10g) dan 48 pil ekstasi.
“Dalam serbuan yang sama, polis juga merampas sebanyak lapan buah kenderaan pelbagai jenis antaranya Toyota Velfire, Mitsubishi ASX, Triton, Honda Accord, Toyota Vios dan Proton Saga serta wang tunai bernilai RM50,000,” katanya dalam sidang akhbar di sini sebentar tadi.
Kamarudin berkata, pihaknya masih menyiasat penglibatan kanak-kanak dalam sindiket pengedaran dadah terbabit. – UTUSAN ONLINE











