REMBAU – Calon Pakatan Harapan (PH), Dr. S. Streram hari ini menjawab isu rakaman video beliau mendakwa tiada Balai Bomba dan Penyelamat di Rantau yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini.
Beliau memberi penjelasan itu kepada pemberita selepas disindir oleh seorang penduduk berkenaan perkara itu semasa sedang berkempen di Rumah Rakyat Bandar Ekar dekat sini pagi ini.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Rembau berkata, rakaman video kenyataan beliau itu dibuat sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.
“Pada 25 Mac 2018 ada kebakaran rumah di Taman Bunga Sejati. Saya lawat rumah itu dan mendapati ada rumah tebakar sepenuhnya.
“Saya tanya penduduk berapa lama bomba tiba dan mereka kata lebih satu jam lebih. Kemudian saya pergi melawat balai bomba di Rantau dan mendapati ia seperti projek terbiar,” katanya di sini.
Streram berkata, selepas mendapati tiada sebarang pergerakan di Balai Bomba dan Penyelamat tersebut, beliau memaklumkan perkara itu kepada pihak media.
Menurutnya, beliau dimaklumkan bangunan Balai Bomba dan Penyelamat Rantau telah siap, tetapi hanya akan beroperasi bermula bulan depan.
“Saya harap Balai Bomba dan Penyelamat ini yang akan dirasmikan oleh kerajaan PH dapat beroperasi secepat mungkin,” katanya.
Terdahulu, seorang lelaki berusia lingkungan 40-an dipercayai menyindir Streram ketika bertembung dengan calon wakil rakyat itu: “Balai Bomba tiadakah doktor? Terperanjat saya. Bomba tiada. Bomba tiada sini,” katanya kepada calon PH tersebut.
Lelaki tersebut bertindak demikian semasa Streram dan jentera partinya sedang melawat rumah ke rumah di Rumah Rakyat Bandar Ekar kira-kira pukul 11 pagi.
Rakaman video Streram mendakwa tiada Balai Bomba dan Penyelamat di Rantau tular di media sosial menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.
Rakaman video lama itu mendapat kritikan sebilangan netizen yang mendakwa Balai Bomba dan Penyelamat Rantau telah dibina sejak Mac 2018. – K! ONLINE











