KUALA TERENGGANU 4 MAC – KAMI tidak pernah tolak pembangunan, kami tak kisah untuk berpindah. Cuma kami merayu berilah sedikit masa untuk berniaga di tempat lama.

“Kami amat berharap pihak berkenaan dapat tangguhkan pemindahan sehingga selepas Hari Raya Aidilfitri, sekurang-kurangnya dapat juga kami dapat rezeki lebih semasa cuti musim perayaan itu nanti sebelum pindah.”
Demikian rintihan kira-kira 1,000 peniaga Pasar Besar Kedai Payang di pusat bandar raya ini yang akan ditempatkan selama dua setengah tahun di premis sementara di Pasar Kedai Payang 2 yang terletak berhampiran.
Keluhan para peniaga ini disuarakan oleh wakil mereka, Zakaria Yusof, 55, yang merupakan Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Cawangan Kuala Terengganu.
Menurut Zakaria, kesemua peniaga pasar tumpuan ramai termasuk pelancong itu sepatutnya mula beransur-ansur pindah pada 15 April ini dan pada 1 Mei dijadual mula berniaga di premis sementara di Pasar Kedai Payang 2.
Bagaimanapun katanya, para peniaga memohon sedikit pertimbangan pihak berwajib khususnya Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) untuk menangguhkan pemindahan sehingga selepas perayaan Aidilfitri iaitu awal Jun depan.
Mengikut perancangan, kata Zakaria, pasar lama akan dikosongkan dan seterusnya dirobohkan untuk dibina baharu pada 1 Mei depan sebelum dijangka siap sepenuhnya Januari 2021.
Pasar Besar Kedai Payang yang sangat sinonim dengan rakyat Terengganu sejak sekian lama itu akan berwajah baharu melibatkan peruntukan Kerajaan Pusat berjumlah RM50 juta manakala pembinaan Pasar Payang 2 pula menelan kos RM28 juta.











