[VIDEO] Hadiah hari lahir paling besar – Zakaria - Utusan Malaysia

[VIDEO] Hadiah hari lahir paling besar – Zakaria

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU LANGAT 3 Mac – Calon Barisan Nasional (BN), Zakaria Hanafi yang berjaya merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih daripada Pakatan Harapan (PH) menyifatkan kemenangannya semalam sebagai hadiah hari lahir paling besar pernah dimilikinya.

Zakaria yang bakal menyam­but ulang tahun ke-58 esok berbesar hati apabila diberi kepercayaan pengundi Semenyih untuk mewakili suara mereka.

Walaupun menyifatkan ama­nah dan tanggungjawab itu amat berat untuk dipikul, namun Zakaria yakin dapat menggalasnya.

“Ini hadiah hari lahir paling besar. Sebelum ini saya orang biasa, kini jadi pemimpin untuk menyelesaikan segala masalah rakyat. Insya-Allah saya akan lakukan sebaik mungkin.

“Terima kasih sekali lagi kepada semua pengundi kerana memberi mandat ini kepada saya. Inilah yang dikatakan suara rak­yat suara keramat,” katanya kepada pemberita selepas bertemu dengan penduduk di kawasan sekitar Semenyih di sini hari ini.

BN menerusi gabungan UMNO-Pas yang mempertaruhkan Zakaria berjaya memperoleh 19,780 undi sekali gus menewaskan calon PH, Muhammad Aiman Zainali yang mendapat sebanyak 17,866 undi.

Dua calon lagi iaitu dari Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul mendapat undi sebanyak 847 undi manakala calon Bebas, Kuan Chee Heng memperoleh 725 undi.

Dalam pada itu, Zakaria berjanji memberi keutamaan berjumpa dengan pemimpin masyarakat dan penduduk untuk mendengar sendiri keluhan yang dialami rakyat.

Katanya, Semenyih sememangnya mempunyai banyak isu termasuk masalah infrastruktur, kesesakan jalan raya dan pendidikan, namun masalah itu akan cuba diatasi sebaik mungkin.

“Kita akan terus perjuangkan supaya kerajaan lebih prihatin terhadap kebajikan masyarakat. Saya perlu menyelami sendiri dengan lebih dalam dengan mengadakan perjumpaan terus dengan pemimpin dan rakyat,” ujar beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN