UTM tawar edupelancongan, rekreasi - Utusan Malaysia

UTM tawar edupelancongan, rekreasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 28 Feb. – Universiti kebiasaannya dikaitkan dengan institusi pendidikan yang mana membabitkan usaha seorang individu untuk menggenggam segulung ijazah, namun jangan sangka institusi tersebut tidak menawarkan lebih daripada itu.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang terletak di Skudai dekat sini misalnya turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik buat masyarakat awam, sejajar dengan usaha mereka untuk merakyatkan UTM itu sendiri.

Pengurus Kanan UTM Kampus Edupelancongan Kluster Sukan, Rekreasi dan Edupelancongan, Bahagian Pengurusan Perniagaan, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Zaidi Mohmod berkata, inisiatif membuka kampus UTM kepada umum dimulakan pada 2009.

Menurutnya, itu adalah cetusan idea Naib Canselor UTM ketika itu, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang sebelum diterus dan ditambah baik Naib Canselor UTM ketika ini iaitu Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar.

“Tarikan ini terbahagi kepada dua iaitu edupelancongan dan rekreasi, di mana mereka boleh memilih apakah aktiviti yang mereka mahu lakukan sama ada berkonsep santai mahupun ekstrem.

“Edupelancongan memberi peluang kepada pihak luar untuk merasai kehidupan sebagai penuntut UTM dengan lawatan ke fakulti, dewan kuliah dan sebagainya. Ini sesuai bagi mereka yang mahu merasai kembali suasana ketika bergelar penuntut universiti.

“Bagi yang mahukan aktiviti sukan ekstrem pula boleh memilih untuk melakukan rekreasi seperti berkhemah, jungle trekking, night walking, pemanduan all terrain vehicle (ATV) sejauh 19.5 kilometer termasuk me­rangkumi permukaan jalan dan hutan, flying-fox, sukan paint-ball dan pelbagai lagi,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Antara tarikan lain yang juga boleh didapati di UTM termasuklah Taman Rusa, Taman Equine, Balai Cerapan, berka­yak dan tidak dilupakan juga aktiviti memancing yang dibuka di tiga tasik berbeza dalam kawasan kampus. Malah UTM pernah mengadakan pertandingan memancing dengan tawaran ha­diah RM30,000 sebelum ini.

Tambah Zaidi, sejak kampus UTM dibuka pada masyarakat awam untuk melakukan pelbagai aktiviti, universiti tersebut menerima kunjungan bukan sahaja penduduk sekitar Johor Bahru tetapi dari seluruh negara, bahkan juga dari negara luar.

“Pada 2018, seramai 21,791 in­dividu mengikuti pelbagai akti­viti yang disediakan di kampus ini dan ini termasuk pe­ngunjung dari luar negara antaranya Si­ngapura dan Amerika Syarikat.

“Tarikan utama untuk mela­kukan aktiviti ini di UTM pasti­nya kerana ia merupakan satu lokasi yang berpusat bermaksud terdapat pelbagai aktiviti boleh dilakukan dalam satu kawasan dan juga jaraknya yang tidak jauh dari pusat bandar, jadi ia memudahkan.

“Selain itu harga yang ditawarkan untuk mengikuti mana-mana aktiviti ini juga berpatutan, di mana ianya bersesuaian dengan aktiviti yang mahu dilakukan dan individu yang mahu mengikutinya,” ujarnya.

Untuk dapatkan maklumat lanjut, boleh layari laman web www.utm.my/edutourism ataupun layari laman media sosial rasmi mereka sama ada dalam Facebook, Instragram serta Twit­ter dengan menaip UTM Campus Edutourism.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN