KUALA LUMPUR 14 Mac – Satu usul telah dipohon kepada pihak Yang Dipertua Dewan Rakyat hari ini untuk dibentangkan supaya kerajaan Pusat mengisytiharkan darurat di Pasir Gudang, Johor ekoran pencemaran Sungai Kim Kim di daerah itu akibat pembuangan toksik.

Usul itu dipohon Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dalam usaha memastikan bencana toksik itu dapat dikawal.
“Saya telah memohon kepada Parlimen untuk bentangkan usul supaya kerajaan Persekutuan isytiharkan darurat di Pasir Gudang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Keadaan di Pasir Gudang dikatakan semakin kritikal akibat pencemaran toksik sejak Khamis lalu sehingga menyebabkan semua sekolah dalam kawasan Pasir Gudang ditutup.
Ketika mencelah semasa Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri dalam sidang Dewan Rakyat, Hassan mendesak usul itu dibentangkan hari ini dan bukan pada Isnin depan kerana isu pencemaran itu boleh membahayakan kesihatan rakyat. – UTUSAN ONLINE











