SHAH ALAM – Kementerian Pembangunan Usahawan akan memfokuskan usahawan di kalangan golongan B40 supaya tidak ketinggalan dari segi pendapatan seiring sasaran menjadi negara usahawan 2020.
Menterinya, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, usahawan kelompok itu adalah terdiri daripada Orang Kelainan Upaya (OKU) dan belia yang akan dibantu menerusi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
“Mereka hanya perlu menyerapkan nilai peribadi usahawan iaitu berusaha lebih gigih dan berdisiplin supaya mampu lebih bersaing dan berintegriti.
“Ini kerana sumbangan usahawan B40 di kalangan kaum Melayu khasnya kurang memberansangkan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Usahawan Muda Selangor di sini hari ini.
Karnival yang berlangsung selama dua hari dan berakhir hari ini telah berjaya mengumpulkan 100 usahawan mempamerkan produk mereka seperti kecantikan, makanan dan pakaian serta dikunjungi 20,000 orang.
Menurut beliau, usahawan di negara ini harus membina jaringan seluas mungkin dan menggunakannya bagi mencipta potensi baru dalam perniagaan mereka.
Ujarnya, ini adalah selaras hasrat kementerian menghasilkan 50,000 usahawan yang mewujudkan 200,000 peluang pekerjaan setahun di negara ini.
“Ironinya masih ada membangkitkan soal ketidakwujudan peluang, ruang dan bantuan untuk memulakan langkah pertama untuk terlibat dalam bidang keusahawanan.
“Justeru, kita akan menilai semula keseluruhan ekosistem keusahawanan yang sedia ada yang lebih mesra,” katanya. – K! ONLINE









