CYBERJAYA 28 Feb. – Universiti Limkokwing mempelawa pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mengikuti kursus mendalami industri perfileman di Akademi Filem universiti berkenaan.
Naib Presiden Kanan Pemerkasaan Industri, Universiti Limkokwing, Datuk Raja Aznil Raja Hisham berkata, kursus itu ditawarkan untuk jangka panjang dan pendek.
Beliau berkata, tempoh bagi kursus jangka panjang adalah selama dua tahun dengan pelajar akan mendapat Sijil Akademi Filem setaraf Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Bagi jangka pendek, terdapat dua pilihan iaitu bengkel intensif selama dua hari dan kursus selama tiga bulan. Pilihan ini lebih kepada mereka yang telah aktif dalam industri perfileman.
“Kami menawarkan kursus ini bagi memperhebatkan lagi industri perfileman, ia meliputi pelbagai aspek termasuk ilmu belakang tabir,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Raja Aznil, bagi memperhebatkan penawaran kursus dalam bidang itu, universiti berkenaan melalui Yayasan Limkokwing turut menawarkan 100 biasiswa kepada mereka yang layak.
Selain itu, pihaknya menyasarkan untuk melahirkan 1,000 tenaga kerja berpengalaman dalam industri tersebut sekali gus dapat menampung permintaan dalam bidang itu di negara ini.
“Kemahiran yang dikehendaki dalam dunia perfileman adalah luas, banyak selok-belok yang perlu dipelajari. Kursus yang ditawarkan ini adalah peluang terbaik bagi mereka yang mahu mendalaminya.











