LONDON 4 Mac – Ole Gunnar Solskjaer percaya Manchester United kini perlu menyerap semangat pasukan yang disertainya pada 1999 bagi menyelesaikan tugasan sukar menentang Paris Saint-Germain (PSG) dalam saingan Liga Juara-Juara.
United ketinggalan 0-2 menjelang aksi kedua pusingan kalah mati di Parc des Princes dan akan beraksi tanpa kelibat Paul Pogba yang digantung permainan.
Alexis Sanchez juga tidak dapat beraksi kerana mengalami kecederaan ligamen lutut selain Jesse Lingard, Ander Herrera, Nemanja Matic, Anthony Martial dan Juan Mata yang turut diketepikan kerana masalah kecederaan.
Keadaan itu menyaksikan Solskjaer kini tidak dapat beraksi dengan 10 pemain utamanya.
“Kami tahu ini adalah tugasan sukar. Kami sudah bermain dengan mereka, PSG adalah pasukan yang bagus dan kami sedang mengalami krisis kecederaan tetapi United masih ada pemain yang mahu beraksi,” katanya yang turut kehilangan tiga pemain pertahanan, Phil Jones, Matteo Darmian dan Antonio Valencia.
Solskjaer menjadi pemain paling diingati apabila berjaya menjaringkan gol kemenangan pada waktu kecederaan untuk menundukkan Bayern Munich semasa aksi final 1999 di Nou Camp.
Kejayaan treble itu diingati kerana United menampilkan kebangkitan sensasi termasuk ketika menundukkan Juventus dalam aksi separuh akhir manakala Ryan Giggs menjaringkan gol kemenangan semasa aksi separuh akhir Piala FA selepas Peter Schmeichel menyelamatkan sepakan penalti Dennis Bergkamp
“Saya boleh katakan, kami sukar untuk dikalahkan pada 1999.
“Kami rasakan setiap perlawanan kami ada peluang untuk menang, bermula dengan kemenangan ke atas Arsenal dalam aksi separuh akhir Piala FA,” katanya.-AGENSI










