KUALA LUMPUR 13 Mac – Kerjasama rasmi antara UMNO dan Pas tidak boleh menubuhkan kerajaan negeri mahupun Persekutuan kerana melibatkan satu kaum sahaja.
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, atas sebab itu kerjasama rasmi antara dua parti itu harus bergerak ke hadapan dengan penglibatan daripada parti bukan Islam.
“Tidak boleh hanya satu kaum, perlu bekerjasama dengan semua khususnya parti orang bukan Islam.
“Dalam masa sama, kita tidak hanya lihat pada satu atau dua negeri tetapi senario keseluruhan negara dan politik nasional,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Baru-baru ini, Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan menyuarakan hasrat untuk membentuk kerajaan campuran di negeri-negeri tadbiran Barisan Nasional (BN) dan Pas.
Katanya, kerajaan campuran itu dijangka bermula di Terengganu diikuti Pahang, Kelantan dan Perlis. – UTUSAN ONLINE











