KUALA LUMPUR 6 Mac – Satu mekanisme terbaik perlu diwujudkan antara UMNO dengan Pas selepas kedua-dua parti mengumumkan kerjasama rasmi bagi tujuan penyatuan ummah, semalam.
Mekanisme yang antara lain melibatkan soal pembahagian kerusi dalam pilihan raya akan datang dilihat perlu dilakukan bagi mengelakkan berlakunya perbalahan apatah lagi kerjasama politik antara UMNO dan Pas semakin erat ketika ini.
Pandangan itu disuarakan Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub yang berpendapat dalam keadaan UMNO dan Pas yang belum lagi bersatu menerusi gagasan seperti Barisan Nasional (BN), kedua-dua parti perlu memikirkan soal menang-menang.
Katanya, mekanisme seperti yang diguna pakai dalam enam pilihan raya kecil (PRK) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) perlu diteruskan supaya hasrat merampas semula Putrajaya daripada Pakatan Harapan (PH) menjadi kenyataan.
“Selepas mesyuarat pertama semalam, saya yakin akan ada banyak lagi mesyuarat untuk berbincang dengan lebih lanjut mengenai perkara ini. Masing-masing harus memikirkan mekanisme itu. Sebagai contoh, kerusi yang dilihat memberi kelebihan kepada UMNO diberi kepada parti itu dan begitulah sebaliknya.
“Apa yang penting, kedua-dua parti perlu terus ikhlas menjalinkan kerjasama. Matlamat dan wadah perjuangan sebenarnya tidak jauh berbeza. UMNO dan Pas sama-sama berjuang untuk kepentingan Islam, Melayu dan raja-raja Melayu. Jadi saya lihat perkara itu boleh diatasi sebaiknya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











