HULU LANGAT 1 Mac – Hasrat kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mahu meminda Perlembagaan Persekutuan supaya had umur mengundi diturunkan daripada 21 tahun ke 18 tahun, tidak perlu sehingga wakil rakyat Barisan Nasional (BN) menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, di pihak pembangkang menyokong hasrat kerajaan tersebut termasuk juga berkenaan pendaftaran mengundi secara automatik kerana ia amat baik kepada orang Melayu.
“Perlembagaan (Persekutuan) yang sedia ada telah ditadbir dengan baik, tapi kalau ia mahu dipinda kepada perkara yang lebih baik tidak mengapa namun jika dipinda untuk menjaga kepentingan dan akan mengakibatkan masalah, ia bukan perkara yang baik.
“Kita sokong (pendaftaran automatik) kerana ia baik untuk kita juga kerana yang banyak tidak mendaftar adalah orang Melayu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program Ceramah Perdana anjuran UMNO dan Pas di Bandar Seri Putra, Bangi dekat sini malam semalam.
Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, PH mahu lebih ramai wakil-wakil rakyat dari BN menyertai Bersatu bagi membolehkan parti itu meminda Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Dr. Mahathir, antara perkara yang ingin dipinda kerajaan adalah had umur pengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun selain kuasa Perdana Menteri dihadkan dan tempoh menjadi Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja.
Dalam pada itu, tambah Mohamad, beliau yakin tiada lagi ahli Parlimen dari UMNO yang akan keluar parti untuk menyertai PH.
“Saya tidak tahu jika ada lagi orang-orang BN akan menyertai PH kerana setahu saya keadaan dalam UMNO sendiri mula tenang, tiada lagi masalah dalaman.
“UMNO kini fokus untuk memperkasakan parti dan merangka strategi untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya akan menyokong setiap perkara yang baik seperti hasrat untuk menurunkan had usia mengundi.
“Bagi kami, soal menurunkan umur mengundi dan daftar secara automatik sebenarnya tidak perlu lompat parti pun, bagi kami dalam pembangkang, perkara baik kami sokong.
“Tak perlu lompat parti kerana kami sokong malah kami mendesak supaya bukan sahaja turun kepada 18 tahun tapi mesti mendaftar secara automatik,” katanya. – UTUSAN ONLINE.










