ISU utama perumahan di negara ini ialah kekurangan rumah mampu milik yang mana penggubal dasar perlu melihat dari sudut penyelesaian yang lebih inovatif.
Sebelum ini Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengeluarkan kenyataan bahawa harga rumah di Malaysia adalah di bawah kadar kemampuan majoriti rakyat. BNM telah membidas Persatuan Pemaju Perumahan Malaysia (REHDA) mengenai definisi rumah mampu milik di Malaysia.
Kajian yang dilakukan oleh pihak Universiti Teknologi Malaysia (UTM) juga meletakkan harga di antara RM300,000 dan RM500,000 ialah bukan harga mampu milik oleh golonganberpendapatan rendah dan sederhana.
Kenyataan oleh pihak Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) turut juga menyokong dapatan kajian BNM serta UTM.
Kenyataan REHDA mengenai lambakan rumah mampu milik akan memudaratkan pasaran harta tanah juga turut didapati tidak berasas. Ini adalah kerana stok rumah mampu milik juga didapati masih tidak dapat menampung permintaan rumah mampu milik di Malaysia.
Menurut kajian yang dilakukan oleh pihak UTM, skim rumah mampu milik yang sedia ada hanya boleh menawarkan kurang dari 3 peratus jumlah permintaan rakyat yang ingin membeli rumah yang sesuai dengan pendapatan mereka.
Oleh itu kerajaan harus melihat isu rumah mampu milik di Malaysia adalah sebagai sesuatu keperluan asas bagi menjamin kualiti hidup yang selesa bagi seluruh rakyat. Justeru, dana yang tinggi perlu disalurkan dalam menangani masalah rumah mampu milik dengan menawarkan lebih stok rumah yang mampu dimiliki oleh semua golongan masyarakat terutama golongan B40. Seperti contoh di United Kingdom (UK), kerajaan UK melihat setiap rakyat perlu memiliki rumah sebagai jaring keselamatan kehidupan seseorang manusia.
Justeru, kerajaan UK telah memperkenalkan polisi yang memberi hak setiap warganegara untuk memiliki rumah.
Masalah rumah mampu milik di Malaysia adalah berpunca daripada jurang diantara kemampuan untuk membayar rumah dan nilai sewa dalam pasaran terutama untuk golongan berpendapatan rendah. Selain itu, skim perumahan rumah murah yang ditawarkan masih tidak cukup untuk menampung permintaan rumah mampu milik.
Di Malaysia, setiap 100 rakyat yang berpendapatan rendah, hanya seorang sahaja yang berkemampuan untuk membeli rumah.
Selain itu, lokasi perumahan mampu milik di Malaysia juga menjadi isu kerana kerapkali ia tidak sesuai terutama jarak rumah kediaman dari tempat kerja agak jauh.
Justeru, penyelesaian yang dicadangkan ialah samada meletakkan lokasi skim perumahan mampu milik di kawasan yang bersesuaian atau meningkatkan kemudahan sokongan kemudahsampaian terutama dari aspek pengangkutan awam.
Selain itu, buat masa ini inisiatif skim rumah mampu milik di Malaysia adalah digerakkan oleh pihak kerajaan samada kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri. Kebergantungan kepada pihak kerajaan perlu ada hadnya. Pembabitan pihak swasta dalam menawarkan rumah mampu milik perlu dilibatkan samada dalam pembentukan polisi dan pelaksanaan.
Adalah dicadangkan bahawa kerajaan memperkenalkan polisi setiap rakyat perlu memiliki rumah agar pihak swasta turut sama aktif terlibat dalam pelaksanaan polisi ini. Penswastaan rumah mampu milik boleh dilaksanakan dengan menawarkan beberapa skim pemudah cara seperti baucar, bantuan sewa beli dan pengecualian cukai untuk pembinaan rumah mampu milik. Selain itu, pihak swasta perlu turut sama terlibat dalam menawarkan inisiatif khas pinjaman untuk rumah mampu milik.
Kerajaan juga dicadangkan untuk mewujudkan “Housing Finance Corporation” iaitu sebuah badan bebas yang menawarkan pinjaman dengan kadar faedah rendah/pinjaman patuh syariah untuk jenis rumah mampu milik. Pihak institusi kewangan yang terlibat boleh menawarkan pelaburan berisiko rendah yang dijamin oleh kerajaan dan dalam masa yang sama bertindak sebagai pemacu untuk membina lebih banyak rumah mampu milik.
Penglibatan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan seperti PNB, KWSP, LTAT, Tabung Haji dan Khazanah Nasional juga boleh memainkan peranan sebagai pelabur dalam skim rumah mampu milik ini.
Badan ini juga boleh bertindak sebagai pemudah cara di antara pemaju harta tanah serta pelabur dalam menyediakan skim rumah mampu milik di Malaysia.
Melalui perbelanjaan berhemah adalah diyakini kerajaan berupaya untuk memberi suntikan modal yang besar bertujuan dalam penggalakan skim rumah mampu milik di Malaysia.
Kerajaan sememangnya perlu memainkan peranan yang besar dalam penyediaan rumah mampu milik ini dengan memperkenalkan polisi yang mesra rakyat dalam pembelian rumah.
Polisi mesra rakyat ini termasuklah dalam skim pinjaman, galakan pelaburan oleh pihak swasta, penglibatan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan, badan bebas yang bertindak sebagai pemudah cara serta suntikan dana yang tinggi terutama dalam permulaan untuk menggalakkan penglibatan lebih ramai pihak dalam isu rumah mampu milik ini.
Rencana tulisan:
Dr. Muhammad Najib Razali
Pensyarah Kanan
Fakulti Alam Bina dan Ukur
Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
Siti Hafsah Zulkarnain
Pensyarah Kanan
Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur
Universiti Teknologi MARA (UiTM)











