TRIO berbasikal pecut negara dilihat masih belum menemui sentuhan sebenar apabila mereka sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-15 daripada 16 pasukan pada Kejuaraan Berbasikal Dunia 2019 di Pruszkow, Poland awal pagi semalam.
Pasukan yang dibentuk menerusi gandingan Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom serta Muhammad Fadhil Mohd. Zonis hanya mencatatkan masa 45.099 saat (s) pada aksi kelayakan sekali gus gagal mara ke pusingan pertama.
Catatan yang direkodkan itu juga adalah jauh ketinggalan dengan rekod kebangsaan yang dicipta oleh gandingan sama di Sukan Asia, Jakarta Indonesia 2018 menerusi 43.934s.
Menurut Azizulhasni yang juga juara dunia keirin 2017, semua pelumba telah memberi aksi terbaik, namun terdapat beberapa kelemahan yang merencatkan persembahan mereka untuk mara ke pusingan pertama.
“Malangnya segala perancangan tidak berjalan seperti yang kami rancang. Semua orang sudah memberikan aksi terbaik, namun masih ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki selepas ini.
“Kami akan terus memberi fokus dan berjuang membawa nama negara pada acara lain selepas ini,” katanya semalam.
Pada perlumbaan tersebut, Belanda meraih emas apabila menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 41.923s diikuti Perancis di tempat kedua.
Gangsa menjadi milik pasukan Rusia.











