KUALA LUMPUR 2 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya memuji Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mentadbir parti sehingga membawa kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.
Tambahnya, ia adalah kemenangan kedua BN selepas PRK Parlimen Cameron Highlands sejak Mohamad mula mengambil peranan paling hadapan parti tersebut.
Beliau pada masa sama mengucapkan terima kasih kepada Pas yang memberi sokongan kepada UMNO bagi memastikan kemenangan BN.
“Syukur kepada Allah. Tahniah BN dan Zakaria Hanafi (calon BN PRK DUN Semenyih). Terima kasih Pas. Tok Mat terbaik memimpin kemenangan kedua untuk BN,” katanya menerusi laman Twitter beliau, malam ini. – UTUSAN ONLINE











