Tidak akan sia-sia beri undi kepada pembangkang - Utusan Malaysia

Tidak akan sia-sia beri undi kepada pembangkang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU LANGAT 1 Mac – Memberikan undi kepada pihak pembangkang bukanlah perkara sia-sia kerana demokrasi telah memberi ruang kepada pengundi untuk membuat pilihan masing-masing.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Zakaria Hanafi berkata, memang diakui sebagai pihak pembangkang tiada sebarang perkara yang boleh dijanjikannya melainkan membawa suara rakyat supaya dapat didengari kerajaan.

“Saya rasa dalam tempoh kempen ini sesiapa boleh keluarkan kenyataan, tapi yang membuat penilaian nanti adalah pengundi sendiri.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mengundi pembangkang bukan sia-sia, ini demokrasi dan inilah waktunya kuasa rakyat untuk menentukan. Bagi pemimpin tentulah mereka rasa apa dibuat itu betul, tapi bagi rakyat ia berbeza kerana ruang telah terhidang untuk mereka terjemahkan penilaian mereka menerusi peti peti undi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sia-sia sahaja sekiranya pengundi di Semenyih memilih calon BN atau parti lain pada PRK Semenyih, esok.

Malah, katanya, calon pembangkang tidak mampu melaksanakan agenda pembangunan dan menjaga kebajikan rakyat kerana tidak mempunyai kuasa di peringkat Persekutuan dan negeri.

Sementara itu, jelas Zakaria, sebagai pembangkang sudah tentu BN sekiranya dipilih akan mengutamakan tanggungjawab untuk membawa suara rakyat.

“Saya sendiri tidak berjanji tetapi yang banyak berjanji adalah mereka, saya hanya mahu memanjangkan permasalahan pengundi di Semenyih. Sebagai parti pemerintah, mereka yang perlu menunaikan janji mereka.

“Tiada yang luar biasa, saya memang meletakkan kedudukan untuk menjadi pembangkang yang berwibawa dan menguatkan suara pembangkang dalam DUN Selangor ketika ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini