Teroka pelaburan hartanah di UK - Utusan Malaysia

Teroka pelaburan hartanah di UK

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Feb. – Rakyat Malaysia perlu mengambil peluang daripada kejatuhan nilai pound ketika ini untuk membuat pelaburan hartanah di United Kingdom (UK).

Pengarah Eksekutif CSI PROP, T. Virata berkata, nilai pound menyusut ke paras te­rendah dalam tempoh 30 tahun selepas ekonomi serta pasaran di UK menjadi tidak menentu susulan tindakan Britain yang mahu keluar dari Kesatuan Eropah (EU).

Jelas beliau, buat masa ini tindakan Britain itu masih belum jelas, namun selepas semuanya jelas nilai pound akan kembali meningkat dan tidak akan turun dalam tempoh masa yang lama.

“Semua orang bercakap me­ngenai nilai ringgit yang sema­kin susut berbanding mata wang global lain. Tetapi jika dibandingkan dengan pound, nilai ringgit jauh lebih baik.

“Dengan pengunduran Bri­tain dari EU yang semakin dekat, nilai pound menjadi semakin lemah dan ini merupakan peluang sekali seumur hidup. Pelabur yang bijak akan mengambil peluang ini untuk melabur dalam sektor hartanah di UK,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Tambah Virata, keluar dari EU adalah satu hal yang lain, tetapi isu terbesar di UK adalah kekurangan bekalan rumah yang mencecah sehingga empat juta buah.

Menurutnya, sektor pembinaan menerima kesan yang te­ruk selain berhadapan kekura­ngan tenaga kerja pada 2018 sekali gus membawa kepada penurunan bekalan serta kenaikan harga yang disebabkan permintaan yang kian meningkat.

“Pasaran rumah UK tumbuh 2.7 peratus pada tahun lalu. Sektor hartanah UK menawarkan pulangan yang kukuh serta beri­siko rendah jika dibandingkan dengan negara lain.

“Pertumbuhan harga rumah di London kini berada pada paras 0.5 peratus setakat Disember 2018 berbanding 2.6 peratus pada 2017. Dengan nilai pound yang lemah ditambah pula kadar faedah yang rendah sudah pasti ia akan menarik ramai pelabur dari luar negara,” ujarnya.

Mengenai jenis hartanah dan lokasi, Virata berkata, para pelabur kini lebih suka mengambil sikap menghindari risiko dengan memilih pelaburan jangka panjang yang memberi pulangan yang konsisten.

Katanya, antara jenis harta­nah yang boleh diteroka adalah komersial, pusat penjagaan dan asrama pelajar.

“Pelabur dari Singapura se­perti GIC, Mapletree, Singapore Press Holdings dan beberapa institusi Malaysia banyak mela­bur dalam aset-aset seperti ini. Untuk hartanah kediaman pula, bandar-bandar seperti Birmingham, Liverpool dan Manchester menunjukkan prestasi pertumbuhan harga rumah terbaik.

“Menurut Indeks The Hometrack UK Cities House Price November 2018, Manchester mencatatkan pertumbuhan tertinggi dengan 6.6 peratus diikuti Birmingham (6.3 peratus), Liverpool (5.2 peratus). Hasil penyewaan hartanah di UK diunjurkan sebanyak tujuh peratus,” katanya.

CSI PROP merupakan syarikat pelaburan hartanah dan perun­dingan penyelidikan yang berpusat di Malaysia dan Singapura.

Syarikat itu menawarkan bantuan menyeluruh daripada aspek pemilihan hartanah dan pengurusan sewa, cukai, perundangan, kewangan serta penjualan semula.

Orang ramai yang mahu mendapatkan maklumat lanjut mengenai hartanah di UK boleh menghadiri seminar bertajuk Hartanah UK: Realiti Selepas Brexit dan Jangkaan Pasaran 2019 anjuran CSI PROP pada 2 dan 3 Mac pukul 11 pagi serta 3 petang di Hotel Le Meridien Kuala Lumpur.

Harga hartanah di UK bermula 245,000 pound (RM1.32 juta) dan pihak perbankan Malaysia kini menyediakan pembiayaan sehingga 80 peratus. Pihak bank juga akan berada di seminar berkenaan bagi memberi penerangan lanjut kepada bakal pembeli yang berminat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN