SETIAP manusia yang diciptakan Allah menggalas satu tanggungjawab besar iaitu sebagai khalifah di muka bumi. Ini secara tidak langsung berperanan mengajak manusia berbuat kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Kemungkaran adalah perbuatan diharamkan Islam sama ada kesalahan terhadap Allah, manusia mahupun alam sekitar. Dalam mencegah kemungkaran, umat Islam tentunya memahami kewajiban dalam menjauhi kemungkaran tidak kira daripada diri sendiri, keluarga, jiran mahupun masyarakat secara umumnya.
Menurut Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor, kemungkaran adalah perkara yang mampu diputuskan oleh waras akal tentang keburukan dan melihat perbuatan itu sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku atau diharamkan oleh Allah.
Beliau berkata, usaha mencegah kemungkaran jelas dinyatakan dalam al-Quran. Ini sebagaimana firman Allah maksudnya: “Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah daripada kemungkaran, serta beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka; antaranya ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang fasik.” (Ali-Imran: 110)
“Melalui ayat tersebut boleh difahami bahawa peranan mencegah kemungkaran itu penting dan merupakan satu tindakan atau sikap yang perlu dilakukan oleh umat Islam.
“Malah, peranan amar maaruf nahi mungkar juga didahulukan berbanding keimanan dan ini menunjukkan keimanan ada kaitan dengan peranan menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.
“Kalau umat Islam tidak memainkan peranan tersebut maka keimanan itu boleh dipersoalkan,” katanya ketika berucap dalam Seminar Fiqh Mengubah Kemungkaran: Ke Arah Merealisasikan Islam Rahmatan Lil Alamin di Dewan Muktamar, Pusat Islam, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Perasmian seminar yang dianjurkan dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (Maips) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu disempurnakan oleh Raja Muda Perlis merangkap Yang Dipertua Maips, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof.
Seminar diadakan bagi meningkatkan daya saing dan jati diri rakyat Malaysia khususnya dalam memahami Islam menerusi konteks realiti masa kini dan kemudiannya menyumbang kepada pembangunan masyarakat yang bertamadun seiring negara maju.
Wan Salim berkata, dalam melaksanakan peranan tersebut, umat Islam perlu mengikut kemampuan masing-masing atau sekurang-kurangnya menunjukkan tidak bersetuju dengan kemungkaran tersebut.
“Zaman sekarang semua orang boleh memainkan peranan mereka lebih-lebih lagi dengan adanya media sosial seperti Facebook kerana cara itu juga antara usaha mengubah kemungkaran menggunakan tangan kita,” katanya.
PANDUAN CEGAH KEMUNGKARAN

Sementara itu, penyandang pertama Kursi Jamalullail Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Basri Ibrahim berkata, Rasulullah telah memberi panduan jelas dalam mencegah kemungkaran iaitu dengan tangan, lidah (secara lisan) dan hati.
Sebagaimana sabda Rasulullah maksudnya: “Sesiapa dalam kalangan kamu yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubah dengan tangan, sekiranya tidak mampu hendaklah mengubahnya dengan lidah, sekiranya tidak mampu mengubah dengan lidah hendaklah dia mengubah dengan hati, dan mengubah dengan hati adalah selemah-lemah iman.” – Riwayat Muslim
Jelas beliau, menerusi hadis tersebut, Rasulullah menyebut ‘ubah’, bermakna wujudnya alternatif lain seperti melarang berlakunya zina tetapi menghalalkan perkahwinan.
“Jika dilihat dari sudut kekuatan iman, boleh disimpulkan bahawa mereka yang mengubah menggunakan tangan mempunyai kekuatan iman tertinggi sementara lidah pula imannya sederhana dan hati dikategorikan iman paling rendah,” jelas Basri.
Walau bagaimanapun tambahnya, dalam zaman serba moden ini, umat Islam tidak sepatutnya bergantung harap hanya pada pendekatan hati sedangkan boleh menegur secara bertulis menerusi pelbagai saluran media sosial.
“Tidak ada masalah untuk menggunakan media sosial. Cuma perlu diingat, dalam kita mengubah kemungkaran, perlu juga dipastikan bahawa usaha yang dilakukan itu tidak menimbulkan kemungkaran lebih besar kerana kemungkaran tidak boleh dihilangkan dengan kemungkaran yang sama taraf atau lebih besar daripada itu,” katanya.
Dalam pada itu kata Basri, pendidikan adalah antara elemen penting dalam membantu umat Islam mengubah kemungkaran.
Melalui pendidikan katanya, masyarakat akan dapat mengenal pasti sesuatu perkara itu adalah mungkar mahupun tidak.
“Orang jahil yang inginkan kemungkaran akan cuba menegakkan pendapatnya dan ketika inilah perlunya ada orang berpendidikan untuk menerangkan serta menjelaskan kepada mereka tentang kesalahan mereka lakukan,” ujarnya.
Bagaimanapun katanya, umat Islam perlu berusaha mengubah kemungkaran sekiranya diyakini bahawa tindakan tersebut mendatangkan faedah atau manfaat.











