KUALA LUMPUR 3 Mac – Kegagalan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih perlu menjadi pengajaran kepada Pakatan Harapan (PH).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berpendapat, PH perlu melihat lebih dalam segala kelemahan yang ada supaya pakatan itu boleh segera pulih untuk meneruskan perjuangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau pula selepas ini.
Beliau yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) turut menggariskan dua isu utama yang perlu ditangani PH, iaitu isu kos sara hidup dan retorik Islam-Melayu yang kini didominasi gabungan pembangkang.
“Cabarannya kepada PH dalam PRK DUN Rantau nanti ialah PH tetap akan bergelut untuk mengatasi undi Melayu bagi mempertingkatkan 20 peratus undi yang telah hilang dalam dua PRK sebelum ini.
“Dua pendekatan iaitu tentang kos sara hidup dan retorik Islam-Melayu akan menjadi asas strategik yang perlu ditangani secara berkesan dalam kempen di PRK DUN Rantau nanti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Barisan Nasional (BN) menerusi gabungan UMNO-Pas berjaya merampas kerusi DUN Semenyih selepas menang dengan majoriti 1,914 undi dalam PRK semalam.
Mengulas lanjut, Mujahid turut berpandangan, prestasi calon merupakan salah satu kelemahan PH dalam PRK tersebut.
Kata beliau, kemenangan calon BN, Zakaria Hanafi bukanlah kerana mempunyai faktor ‘wow’ yang menambat hati pengundi, sebaliknya calon PH, Muhammad Aiman Zainali yang tenggelam dan tidak mendapat perhatian pengundi.
Selain itu, Mujahid turut mengakui faktor prestasi lemah kerajaan PH turut memainkan peranan namun bagi beliau, ia bukanlah kerana BN mempunyai solusi yang lebih baik.
“PH punya waktu untuk meyakinkan rakyat bahawa usaha mengurangkan kos bebanan hidup ada yang boleh dibuat segera, ada yang perlu masa. Ada juga yang perlu kajian secara terperinci sebelum membuat sebarang tindakan. Tetapi perkara ini tidak dirasai,” jelasnya.
-habis-










