ALOR SETAR 3 Mac – Kemenangan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang memihak kepada Barisan Nasional (BN) menyaksikan ta’awun parti itu bersama Pas semakin kukuh.
Pesuruhjaya Pas negeri, Dr. Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi berkata, pendekatan ta’awun atau tolong-menolong dalam perkara yang baik itu juga telah memberi kesan positif kepada perkembangan politik negara.
Malah, beliau berkata, kemenangan BN-Pas dalam PRK Semenyih dan Cameron Highlands baru-baru ini sudah tentu merunsingkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang akan berdepan satu lagi pilihan raya di Rantau, Negeri Sembilan.
“Mutakhir ini, Pas diserang secara bertali arus oleh kepemimpinan PH dengan pelbagai tohmahan palsu bertujuan untuk melemahkan komitmen ahli dan meminggirkan rakyat daripada Pas.
“Serangan liar itu walau bagaimanapun semakin tumpul apabila satu persatu pembohongan berkenaan dapat dipatahkan dan selepas ini rakyat ternanti-nantikan pula apakah tajuk wayang sempena PRK Rantau,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas cubaan berterusan pihak tertentu yang menyerang Pas sepanjang kempen PRK Semenyih termasuk mengaitkan isu bayaran RM1.4 juta kepada editor Sarawak Report, Claire Rewcastle Brown, biarpun bukan Pas yang bertanding.
BN memenangi PRK DUN Semenyih semalam melalui calonnya, Zakaria Hanafi selepas memperoleh 19,780 undi iaitu majoriti 1,914 daripada pesaing terdekat dari PH, Muhammad Aiman Zainali yang memiliki 17,866 undi.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Fakhruddin berkata, rakyat Malaysia hari ini seolah-olah diajar menuduh dahulu seseorang dengan dakwaan palsu dan sekiranya sesuatu tuduhan itu tidak benar, maka pihak yang dituduh hendaklah menyaman pihak yang menuduh.
“Hal ini tidak masuk akal dan di luar tatasusila prinsip keadilan sejagat. Apakah ini cara mereka yang membawa panji ‘Malaysia Baharu’ menegakkan keadilan.
“Dalam prinsip keadilan Islam pun, pihak yang mendakwa hendaklah mengemukakan bukti ke atas pihak yang kena dakwa, manakala sumpah tertanggung ke atas pihak kena dakwa,” katanya. -UTUSAN ONLINEa











