Semua sekolah di Perak beroperasi semula esok - Utusan Malaysia

Semua sekolah di Perak beroperasi semula esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Perak akan kembali beroperasi seperti biasa esok selepas ditutup pada Jumaat lalu susulan keadaan jerebu.

Pengarah Pendidikan Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar berkata, keputusan itu dibuat susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di semua stesen pemantauan di negeri ini yang mencatatkan paras di bawah 150 setakat pukul 2 petang tadi.

Katanya, bacaan berkenaan menunjukkan keadaan kualiti udara di Perak berada pada tahap terkawal.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak akan terus memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi memastikan tindakan susulan diambil mengikut garis panduan dan arahan KPM.

“Sehubungan itu, ibu bapa dan penjaga diminta supaya sentiasa peka terhadap perkembangan semasa dan mengikuti makluman rasmi yang dikeluarkan JPN Perak bagi memastikan keselamatan dan kesihatan anak-anak terus terpelihara,” katanya di sini hari ini.

Zulkafli menegaskan bahawa keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta seluruh warga pendidikan kekal menjadi keutamaan dalam setiap tindakan yang diambil sepanjang situasi jerebu melanda negara.

Jumaat lalu, semua sekolah di daerah Kinta dan Kuala Kangsar ditutup serta-merta berikutan keadaan jerebu di negeri ini yang merekodkan bacaan IPU tidak sihat mencecah 180.

Bacaan itu direkodkan di stesen pemantauan CA11A di Tasek, Ipoh pada pukul 11 pagi pada hari sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini